Sabtu, 12 November 2022 | 6:34pm
Muhyiddin berceramah dalam Program Santai Anak Muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram. FOTO NSTP/ESSA ABU YAMIN
Muhyiddin berceramah dalam Program Santai Anak Muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram. FOTO NSTP/ESSA ABU YAMIN

PRU15: Muhyiddin bayangkan BN, PH bergabung bentuk kerajaan

BATU PAHAT: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Barisan Nasional (BN) akan bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan sekiranya gagal menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ia bersandarkan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini parti itu sedia bekerjasama dengan parti lain jika gagal mendapat majoriti mudah untuk bentuk kerajaan.

Presiden BERSATU yang mahu mempertahankan Parlimen Pagoh itu turut mengaitkan satu undi diberikan kepada BN sama seperti memberikan sokongan kepada PH diterajui PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya mengatakan perkara ini berdasar kenyataan gabungan 3.0 dinyatakan Ahmad Zahid sendiri dan sudah tentu ia bukan bergabung dengan PN.

"Sekiranya ini berlaku, maka Anwar berkemungkinan menjadi Perdana Menteri dan sebagai ganjarannya Ahmad Zahid akan dibebaskan daripada segala tuduhan mahkamah," katanya dalam kempen Jelajah Prihatin Batu Pahat Anak Muda di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram, hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan BN sedia melaksanakan apa sahaja kaedah matang termasuk bergabung dengan parti lain bagi memastikan kewujudan kestabilan politik selepas PRU15.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk mengelakkan rakyat menjadi mangsa akibat ketidakstabilan politik jika tiada parti memperoleh majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, langkah bergabung itu masih terlalu awal untuk dibincangkan kerana beliau yakin BN mampu mendapat majoriti mudah dalam PRU15.

Sementara itu, Muhyiddin menyatakan sokongan kepada PN sudah meningkat dan semakin mengukuh daripada kalangan pengundi Melayu seluruh negara.

"Keruntuhan kepemimpinan dalam BN turut dilihat sebagai kelebihan kepada PN untuk menjadi pilihan pengundi," katanya.


Suara Kita

Berita Harian X