GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Nor mengingatkan semua calon dan penceramah yang berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya tidak keterlaluan sehingga melanggar tatasusila dan nilai murni.
Wan Salim berkata, calon sebaliknya perlu menerangkan mengenai dasar parti dan manifesto yang dibuat selain perancangan bagi memajukan kehidupan rakyat sekiranya diberi mandat.
"Sebagai 'orang tua', saya nasihatkan tidak kira dari parti mana, dalam keghairahan kita pancing undi, janganlah keterlaluan ketika berkempen, tak perlu maki atau cerca. Sepatutnya terangkan dasar parti dan manifesto kita.
"Ketika berkempen, kita terikat dengan hukum Allah SWT, sepatutnya perlu elakkan kemungkinan melakukan perkara dilarang. Kita faham bahawa ahli politik perlukan orang ramai dalam meraih undi, tetapi itu tidak menjadi hal, cuma cara berkempen perlu ada etika.
"Bagi orang Islam, perlu ikut hukum-hakam serta nilai akhlak yang perlu dihayati," katanya ketika ditemui di Gelugor, di sini, hari ini.
Wan Salim mengulas tindakan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir yang mengeluarkan hukum undi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka dalam kempennya menerusi video tular berdurasi 28 saat.
Bagaimanapun, Mohd Shahiful dalam kenyataannya hari ini, memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu menerusi satu video yang disiarkan di Facebook Pemuda PAS Sik.
Wan Salim berkata, beliau kesal dengan ucapan serius berkaitan keimanan dan kekufuran seseorang Muslim, terutama apabila dikaitkan dengan syurga dan neraka kerana penentuannya adalah hak milik Allah SWT.
"Sebagai manusia, tak boleh menghukum atau buat keputusan terhadap seseorang yang hanya dilihat pada zahirnya. Jika didapati zahirnya seseorang itu bersolat, berpuasa, baca al-Quran atau lakukan kerja taat pada perintah agama, kita katakan dia Muslim dan sudah tentu beriman.
"Namun, kalau kita lihat dia lakukan perkara yang jelas seperti dari segi perbuatan atau percakapan termasuk menyembah berhala, itu menyekutukan Allah SWT, jelas dia melakukan kekufuran.
"Setakat punya pandangan berbeza mengenai politik dan agama, kita tidak boleh sewenang-wenangnya katakan dia masuk neraka," katanya lagi.