SUNGAI BULOH: "Jangan guna hukum agama sebagai bahan kempen, itu cara politik 80-an, sudah lama ketinggalan," kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, kenyataan penceramah Perikatan Nasional (PN) yang mengeluarkan hukum undi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka tidak sepatutnya dilakukan.
"Kenyataan sebegitu memang tidak patut dikeluarkan, itu bertentangan dengan agama sendiri dan agama ini jangan kita gunakan sebagai sesuatu bahan kempen.
"Saya rasa perkara ini sudah lama kita tinggalkan, nak kafirkan orang lain saya rasa ini zaman 80-an punya politik, saya rasa tidak patut dibuat kenyataan begitu," katanya kepada media selepas selepas program ramah mesra bersama pelajar tahfiz Darul Ulum az-Zahra di sini hari ini.
Kelmarin, tular video kempen berdurasi 28 saat Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir Shahiful yang mendakwa mereka yang mengundi BN atau PH pada PRU15 akan masuk neraka.
Kenyataan itu mengundang kritikan pelbagai pihak menyebabkan Mohd Shahiful kemudian membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya itu.
Permohonan maaf itu dibuat melalui satu video disiarkan di Facebook Pemuda PAS Sik dan beliau turut memohon dihentikan segala bentuk sebaran video itu bagi menjamin keharmonian dan persaingan pada PRU15.
Walaupun Mohd Shahiful memohon maaf, PKR yang juga satu daripada parti komponen PH akan membuat laporan polis terhadap pemimpin muda PAS berkenaan dalam tempoh tedekat bagi memberi peringatan supaya mana-mana parti tidak menggunakan agama bagi tujuan politik.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata laporan juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).