KUALA TERENGGANU: Satu sungai direkodkan melepasi paras amaran manakala dua lagi mencatatkan bacaan melepasi paras waspada di Terengganu.
Ketika ini, cuaca tidak menentu masih melanda di kebanyakan daerah di Terengganu sekali gus menyebabkan paras air di kebanyakan sungai utama menunjukkan trend peningkatan.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat jam 11 pagi tadi, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu kini melepasi paras amaran dengan merekodkan bacaan 20.43 meter (m).
Bacaan yang direkodkan itu melepasi paras normal sungai iaitu 17m.
Selain itu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu yang berada pada paras 10.92m direkodkan melepasi paras waspada ketika ini.
Turut direkodkan melepasi paras waspada adalah Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu yang mencatatkan bacaan 18.40m berbanding paras normal 17m.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka berlaku di beberapa daerah dekat Kelantan dan Terengganu sehingga hari ini.
Di Terengganu, ia membabitkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.