Sabtu, 12 November 2022 | 10:42am

PRU15: 'Undi PH, BN masuk neraka': Permohonan maaf Ketua Pemuda PAS Sik 'tak jalan'

Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir (kiri) mohon maaf kenyataan ‘undi PH, BN masuk neraka’, namun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (kanan) tegaskan PKR akan buat laporan kepada polis dan SPR - Foto NSTP
Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir (kiri) mohon maaf kenyataan ‘undi PH, BN masuk neraka’, namun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (kanan) tegaskan PKR akan buat laporan kepada polis dan SPR - Foto NSTP

TANGKAK: Beberapa hari lalu, tular rakaman video memaparkan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir dalam ceramah kempennya mengeluarkan hukum sesiapa mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

Susulan penyebaran video berdurasi 28 saat itu, beliau menerima kritikan daripada pelbagai pihak dan semalam, Mohd Shahiful dalam satu kenyataan, memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu 'undi BN dan PH masuk neraka'.

Permohonan maaf itu dibuat melalui satu video disiarkan di Facebook Pemuda PAS Sik dan beliau turut memohon dihentikan segala bentuk sebaran video itu bagi menjamin keharmonian dan persaingan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Walaupun Mohd Shahiful memohon maaf, PKR yang juga satu daripada parti komponen PH akan membuat laporan polis terhadap pemimpin muda PAS berkenaan dalam tempoh tedekat bagi memberi peringatan supaya mana-mana parti tidak menggunakan agama bagi tujuan politik.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata laporan juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya dan peguam akan tengok ucapan PAS yang kata kalau undi BN dan PH masuk neraka. Dalam beberapa hari lagi, saya akan buat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebab kita tak boleh biarkan orang macam ini.

"Dia ingat dia hasut orang, ugut orang guna agama untuk menakutkan orang Melayu. Dia ingat dia akan terlepas dari undang-undang," katanya ketika berucap di Ceramah Mega Ayuh Malaysia di Bukit Gambir, Ledang, malam tadi.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR mengingatkan PAS supaya tidak membuat sebarang provokasi menggunakan sentimen agama dan perkauman.

"Lain kali kalau nak masuk pilihan raya, cakap dengan pengundi, macam mana nak bantu pengundi, beritahu mereka apa perancangan PAS untuk orang Melayu, Cina dan India.

"Janganlah guna agama kata orang itu masuk neraka, orang ini kafir, undi tak masuk syurga," katanya.

Berita Harian X