SHAH ALAM: Sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Meru, Klang bagi menempatkan sekitar 200 mangsa banjir dari kawasan berkenaan.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaafar berkata, keadaan banjir di sekitar Meru masih tidak berubah apabila hujan kerana air akan meningkat sebelum berada di paras statik.
"PPS kedua di Meru iaitu SRA Meru dibuka akan menempatkan sekitar 200 orang mangsa banjir sekitar kawasan berkenaan. Jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai yang dibuka semalam kini meningkat kepada 628 orang setakat ini," katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, berdasarkan data Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 8.20 malam tadi, seramai 807 mangsa dari 190 keluarga ditempatkan di tiga PPS.
PPS SK Sungai Binjai menempatkan mangsa banjir tertinggi iaitu 628 orang diikuti PPS SK Kampung Johan Setia (147); Masjid Al Falah Kampung Budiman (32) manakala jumlah sebenar mangsa banjir di PPS SRA Pekan Meru sedang dikemaskini.