Jumaat, 11 November 2022 | 6:18pm
 Foto NSTP/Danial Saad
Foto NSTP/Danial Saad

PRU15: 'Ambil tindakan penceramah hukum undi BN, PH masuk neraka'

ALOR SETAR: Pihak berkuasa agama diminta mengambil tindakan terhadap penceramah Perikatan Nasional (PN) yang mengeluarkan hukum undi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka dalam kempennya baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata kenyataan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir dilihat mampu memecah belah perpaduan ummah.

"Kami terkejut kerana masih ada lagi penceramah begitu mudah menghukum kerana mengundi parti tertentu, seolah tuhan memberi kuasa kepada mereka menentukan siapa yang masuk syurga atau neraka.

"Aliran ceramah syurga dan neraka, yang dipopularkan PAS sekitar 70-an dan 80-an, sudah ditinggalkan pemimpin parti berkenaan, tetapi masih ada saki baki yang gemar menghukum syurga dan neraka.

"Saya fikir PAS moden sekarang sudah tidak menjual agama bagi mendapat undi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, tular video berdurasi 28 saat Mohd Shahiful yang memberikan hukum masuk neraka sekiranya rakyat mengundi PH dan BN.

Bagaimanapun, Mohd Shahiful hari ini, dalam kenyataannya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu 'undi BN dan PH masuk neraka'.

Permohonan maaf itu dibuat melalui satu video yang disiarkan di Facebook Pemuda PAS Sik.

Dalam video berdurasi 34 saat itu beliau turut memohon untuk dihentikan segala bentuk sebaran video itu bagi menjamin keharmonian dan persaingan PRU15.

Berita Harian X