KOTA DAMANSARA: Lebih banyak klinik swasta dalam Parlimen Sungai Buloh akan didaftarkan di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), selain menaik taraf fasiliti kesihatan awam.
Itu antara tawaran khusus diketengah calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, jika berjaya menawan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Khairy ketika merasmikan pembukaan Klinik Saya di sini, hari ini, berkata beliau juga menawarkan bantuan khusus bagi pesakit terlantar di rumah serta individu yang menghidap penyakit buah pinggang dan memerlukan rawatan hemodialisis.
"Menerusi program PeKa B40, dia (pesakit) boleh menerima saringan kesihatan percuma yang dibiayai kerajaan, tetapi klinik berkenaan perlulah berdaftar di bawah Protect Health, Kementerian Kesihatan (KKM).
"Perancangan saya di KKM bukan hanya saringan, tetapi termasuk rawatan untuk kencing manis, darah tinggi dan kolestrol pun boleh didapati di klinik swasta dengan percuma melalui PeKa B40.
"Kita mahu beri peluang kepada klinik swasta untuk menawarkan saringan dan rawatan penyakit sedemikian. Ini adalah 'smart partnership' di antara kerajaan dan swasta, sekali gus mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan awam," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Khairy ketika memperinci tawaran menerusi rakaman video, mengumumkan manifesto bertemakan 'Kita Jaga Sungai Buloh, Kita Jaya Malaysia' mengandungi empat teras utama, iaitu sejahtera, digital, sihat dan lestari Sungai Buloh.
Beliau antara lain mengakui setiap kandungan manifesto itu dapat dilaksanakan dengan perincian lanjut akan dihuraikan dalam siri video akan datang.
"Saya ini bukanlah saudagar mimpi yang menjanjikan bulan dan bintang, tetapi semua pengisian ini dibentuk bersandarkan pengalaman sebagai Ahli Parlimen tiga penggal di Rembau, Negeri Sembilan, selain menerajui tiga kementerian sebelum ini.
"Saya amat mengharapkan sokongan semua pengundi Sungai Buloh. Kata janji Sungai Buloh ini tekad dan komitmen kepada anda. Jika diberi peluang sebagai Ahli Parlimen. Saya akan berusaha sepenuh daya untuk mengotakan janji demi membalas kepercayaan anda," katanya.
Antara tawaran menerusi teras Sejahtera Sungai Buloh, ialah pembukaan dua Pusat Khidmat Ahli Parlimen iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras dan Kota Damansara, selain memperkukuh program bantuan kebajikan menerusi kerjasama badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pemerkasaan peranan persatuan penduduk dan badan pengurusan bersama (JMB) dalam penyelesaian isu di kawasan perumahan serta pelaksanaan projek mitigasi banjir, menerusi naik taraf sistem saliran dan mendalamkan sistem perparitan.
Memperluas jaringan pengangkutan di antara kawasan perumahan dengan stesen kereta api dalam Sungai Buloh menerusi kerjasama syarikat pengendali perkhidmatan pengangkutan awam.
Bagi teras Digital Sungai Buloh, Khairy menawarkan pelaksanaan sistem pemantauan secara dalam talian bagi aduan dan cadangan diterima Pusat Khidmat Ahli Parlimen, selain perluasan capaian internet 5G di Sungai Buloh.
Pelaksanaan program tuisyen dalam talian kepada murid tahun peperiksaan, pemerkasaan perdagangan secara tanpa tunai, terutama membabitkan peniaga kecil serta bengkel perniagaan digital dan kemudahan internet untuk masyarakat Orang Asli.
Program pembelajaran digital bagi mengasah bakat dengan Google, mewujudkan Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di Sungai Buloh, iaitu program pembudayaan elemen berkenaan bagi membangunkan prototaip produk inovasi.
Tawaran melalui teras Sihat Sungai Buloh ialah projek naik taraf infrastruktur dan tambah baik kelengkapan peralatan di fasiliti kesihatan awam di Sungai Buloh, selain pembangunan Hospital Sungai Buloh sebagai Institut Kawalan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIIDC).
Mewujudkan perkhidmatan sokongan populasi menua dan perkhidmatan perawatan domisiliari, memperluas akses bagi perkhidmatan dan sokongan dialisis serta menambah baik sokongan kesihatan primer dan penjagaan komuniti seperti pembasmian denggi.
Melaksanakan program paliatif dan penjagaan jangka panjang menerusi lawatan petugas kesihatan ke rumah, sokongan kaunseling bagi kesejahteraan kesihatan mental, menambah baik akses kepada kemudahan sukan awam di Sungai Buloh serta program kesedaran dan latihan pertolongan cemas.
Teras Lestari Sungai Buloh pula menawarkan program kesedaran persediaan bencana, termasuk penyediaan kit bencana, prosedur operasi standard (SOP) dan Pusat Pengurusan Bencana, selain mewujudkan konsep 'Gardens by Sungai Buloh'.
Memberi penekanan terhadap penggunaan sumber boleh diperbaharui, program Pembangunan Pertanian Bandar bagi menjadikan Sungai Buloh hab galakan pertanian bandar seperti aeroponics serta kemudahan akses terbaik kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) bagi pengangkutan awam, bangunan dan fasiliti.
Program pemeliharaan kawasan hijau bagi melindungi 'paru-paru hijau' bandar, melindungi dan memelihara Taman Rimba Kota Damansara, projek penggantian lampu jalan LED di jalan raya Persekutuan dalam kawasan Sungai Buloh serta melaksanakan Program Sungai Buloh Bandar Bersih dan pengurusan sisa pepejal menyeluruh.