Jumaat, 11 November 2022 | 3:34pm

Cuaca tidak menentu, mangsa banjir takut nak pulang rumah

KLANG: Mangsa banjir dari Kampung Johan Setia di sini, masih tidak berani untuk pulang ke rumah walaupun banjir sudah surut kerana bimbang jika rumah mereka dinaiki air semula susulan cuaca yang tidak menentu.

Zaini Md Zain, 43, yang sudah dua malam berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, berkata dia dan suami pulang untuk melihat keadaan rumah yang kotor diselaputi lumpur kesan daripada banjir yang berlaku pada petang Rabu lalu.

"Saya pulang tengok rumah dan selepas itu ke sini (PPS) semula sebab tak nak fikir bagaimana hendak bersihkan sisa banjir itu.

"Keadaan cuaca yang tidak menentu juga membimbangkan saya untuk pulang ke rumah kerana mempunyai keluarga yang besar iaitu enam anak berusia setahun hingga 18 tahun, dua anak saudara dan turut menjaga emak yang kurang sihat," katanya ketika ditemui di PPS SK Kampung Johan Setia, hari ini.

Seorang mangsa banjir yang juga peniaga gerai makanan di Persiaran Hamzah Alang, Meru, Nona Rita Mohamed, 40, berkata sekiranya berlaku banjir kawasan itu kebiasaan akan mengalami banjir termenung yang akan mengambil masa sehingga seminggu untuk surut sepenuhnya.

"Di sini rumah ibu saya, manakala saya tinggal di Taman Meru Jaya dan setakat ini air masuk ke bahagian dapur saja sehingga ke paras betis.

Beberapa barangan penting juga sudah kami angkat ke tempat tinggi ketika air mula naik petang semalam.

"Ibu, ayah serta adik juga sudah berpindah ke rumah saya dan menunggu air banjir ini surut sebelum kembali ke sini," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir yang hanya mahu dikenali Ifa, 30, berkata kawasan Taman Sri Puteri yang didiaminya sejak tujuh tahun lalu jarang dinaiki air kecuali kejadian banjir besar pada Disember 2021.

"Sepanjang tujuh tahun tinggal di sini, tahun lalu adalah banjir paling teruk pernah saya alami apabila air masuk ke dalam rumah dan menyebabkan banyak kerosakan.

"Saya tidak sangka selepas hampir setahun kawasan ini banjir lagi. Walaupun air tidak setinggi seperti tahun lalu, tetapi ia juga boleh merosakkan rumah," katanya.

Tinjauan di sekitar Meru, Klang dan Kampung Budiman, Shah Alam mendapati banjir di beberapa tempat masih lagi belum surut.

Sementara itu, berdasarkan data di Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir meningkat kepada 695 orang setakat jam 2.55 petang tadi.

Semua mangsa daripada 164 keluarga itu ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai dan Masjid Al Falah Kampung Budiman.

Nona melihat keadaan kedai makan miliknya yang dinaiki air berikutan hujan lebat di Pekan Meru petang semalam. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Nona melihat keadaan kedai makan miliknya yang dinaiki air berikutan hujan lebat di Pekan Meru petang semalam. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Berita Harian X