PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan melaksanakan ujian penuh terhadap perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang terjejas esok bagi menilai sama ada ia selamat untuk dibuka semula kepada pengguna.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata keputusan sama ada pembukaan semula perkhidmatan bagi 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park akan dipercepat, bergantung kepada hasil ujian berkenaan.
"Esok, jika semua berjalan dengan baik, maka keputusan akan dibuat berdasarkan penilaian pengilang asal (OEM) dan memberi jaminan ia selamat digunakan.
"Maka, audit kita iaitu pihak berkuasa yang diperuntukkan kuasa memberi kelulusan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan masuk dan membuat pengujian terakhir.
"Apabila mereka merasakan ia selamat seperti mana dijamin pihak OEM, maka kita akan buat keputusan hasil daripada pengujian berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Rapil Rail Subang di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah dan CEO Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), Amir Hamdan.
Ka Siong menjelaskan, gangguan dikesan berlaku pada pusat kawalan kenderaan (VCC) bahagian satu, yang menyebabkan pergerakan tren tidak dikesan, sebelum pihak Rapid Rail mengesan satu lagi masalah pada pusat pengurusan isyarat (SMC).
Katanya, apabila pakar dari Thales tiba, mereka melakukan ujian pertama menggunakan alat diagnostik pada jam 11.15 malam kelmarin, membabitkan keseluruhan 24 tren di 37 stesen LRT, dari stesen Gombak hingga Putra Heights, yang memberikan petunjuk positif.
"Satu lagi pengujian akan dilakukan malam ini, sebelum ujian penuh esok di seluruh laluan yang terganggu. Tren masih berjalan tetapi tanpa penumpang," katanya.
Sejak Rabu lalu, sebahagian perkhidmatan sistem LRT laluan Kelana Jaya digantung operasi selama tujuh hari, membabitkan 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.
Pada Selasa, Rapid Rail memaklumkan, perkhidmatan laluan berkenaan mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan, berpunca daripada sistem kawalan tren automatik (ATC), yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan tren.