CYBERJAYA: "Terpulang kepada pendirian parti masing-masing sama ada untuk isytihar harta atau tidak," kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, tindakan calon PKR mengisytihar harta adalah pilihan mereka yang juga dilihat berbeza dengan pendirian rakan komponen, DAP.
"PKR nak buat takpalah, tapi rakan mereka tidak ikut sama juga, DAP pun tidak buat jadi masing-masing ada pendirian masing-masing.
"Pendirian kami (Barisan Nasional) ialah untuk buat setelah dilantik jawatan kerajaan," katanya pada sidang media pada sidang media selepas melancarkan Pengoperasian Hospital Cyberjaya, di sini hari ini.
Khairy juga menegaskan pengisytiharan harta adalah perkara penting malah beliau juga tidak ada masalah untuk berbuat demikian sekiranya dipilih dan dilantik dalam kerajaan.
"Ini memang amalan kita daripada dulu lagi, saya pun dah isytihar harta saya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), disenaraikan bukti-bukti dan julat nilai harta mengikut yang diisytihar," katanya.
Beliau berkata demikian ditanya adakah langkah PKR dalam pengisytiharan harta wajar diikuti semua parti.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini berkata, setiap calon parti itu pada PRU15 perlu berbuat demikian bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun DAP tidak menetapkan dasar untuk calonnya yang bertanding pada PRU15 mengisytiharkan harta mereka.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata mereka hanya akan berbuat demikian sekiranya dipilih mengangkat sumpah sebagai menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan.