PETALING JAYA: Kerajaan melantik syarikat perunding antarabangsa yang bebas bagi melihat semua kemungkinan terhadap gangguan perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) sehingga terpaksa dihentikan perkhidmatan sejak Rabu lalu, termasuk unsur sabotaj.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sejak hari pertama, beliau sudah berbincang dengan Prasarana Malaysia Berhad (Pransarana) supaya melihat punca masalah itu secara menyeluruh, bukan hanya terhad kepada aspek teknikal.
"Setakat ini, ia disebabkan masalah sistem dan signaling. Bagaimanapun, kita ambil keputusan untuk melantik firma perunding yang disegani di peringkat antarabangsa untuk menjadi konsultan bagi melihat aspek ini, termasuk apa yang dinyatakan (kemungkinan unsur sabotaj)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Rapil Rail Subang di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Rail, Amir Hamdan.
Hari ini, sebuah portal berita melaporkan, bekas CEO Prasarana, Datuk Ridza Abdoh Salleh mendakwa terdapat kemungkinan punca gangguan perkhidmatan bagi LRT laluan Kelana Jaya disebabkan unsur sabotaj.
Sejak Rabu lalu, sebahagian perkhidmatan sistem LRT laluan Kelana Jaya digantung operasi selama tujuh hari, membabitkan 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.
Pada Selasa, Rapid Rail memaklumkan, perkhidmatan laluan berkenaan mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan, berpunca daripada sistem kawalan tren automatik (ATC), yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan tren.
Berikutan itu, dianggarkan kira-kira 200,000 pengguna terjejas dan terpaksa beralih kepada mod pengangkutan lain untuk urusan harian, sekali gus menyaksikan trafik di ibu kota semakin sesak pada waktu puncak.