Jumaat, 11 November 2022 | 12:31pm
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat

Tawaran manifesto kebajikan penjawat awam masih belum cukup - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpendapat perkara yang disentuh dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) oleh parti politik mengenai kebajikan penjawat awam masih tidak mencukupi.

Presidennya, Adnan Mat, berkata segala tawaran manifesto oleh parti berkenaan dianggap belum sampai tahap sempurna kerana isu penjawat awam seperti penyelarasan kadar gaji minimum kepada RM1,800 yang diminta sejak sekian lama tidak dimasukkan.

"Kita beranggapan masih belum cukup kerana kita sudah maklumkan sejak sekian lama bahawa gaji minimum yang penjawat awam mahukan ialah RM1,800.

"Kita juga beranggapan bahawa gaji minimum berkenaan adalah pendapatan selesa dan perbelanjaan adil," katanya yang dipetik dalam laporan FMT, hari ini.

Bagaimanapun, pihaknya menghargai jasa parti berkenaan yang mengambil berat isu kebajikan penjawat awam menerusi manifesto dilancarkan.

"Kita ambil maklum setiap manifesto yang diumumkan sama ada mampu dilaksana atau tidak, itu perkara kedua tetapi pengumuman bagi kepentingan penjawat awam itu memang dialu-alukan.

"Ini bukan suatu 'gula-gula' untuk meraih undi, tetapi kita yakin semua memandang serius kebajikan penjawat awam," katanya.

Kebanyakan parti politik yang bertanding pada PRU-15 melancarkan manifesto masing-masing dengan Barisan Nasional (BN) menjanjikan cuti bergaji pada hari lahir pekerja termasuk penjawat awam sebagai mengiktiraf sumbangan mereka jika parti itu menang dalam PRU15 nanti, selain menjamin keadilan dalam isu gaji dan imbuhan tanpa mengira jantina.

Perikatan Nasional (PN) pula menjamin akan menaikkan kadar elaun sara hidup (COLA) penjawat awam sebanyak RM100 yang akan diselaras secara berkala.

Berita Harian X