KUCHING: Polis Sarawak melakukan 342 serbuan dan pemeriksaan dalam operasi Dadu Khas bagi menggempur aktiviti perjudian di seluruh negeri ini mulai 24 Oktober hingga 7 November lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri, berkata operasi Dadu Khas dilaksanakan bagi mengesan dan membanteras aktiviti perjudian haram bagi mengambil tindakan terhadap sindiket yang terbabit.
"Daripada 342 serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan seramai 126 tangkapan dilakukan, 70 unit telefon bimbit yang dijadikan kios judi dalam talian dirampas.
"Jumlah wang rampasan adalah sebanyak RM18,615," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, daripada jumlah 126 keseluruhan kertas siasatan yang dibuka, sebanyak 34 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah dan bakinya masih dalam siasatan.
"Sebanyak 11 premis yang terbabit dengan aktiviti perjudian sudah diambil tindakan pemotongan elektrik mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dengan kerjasama pihak Sarawak Energy Berhad.
"Kita mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perjudian haram, maklumat boleh disalurkan di balai polis yang berdekatan dan juga hotline PDRM Sarawak ditalian 013-5253052," katanya.