Khamis, 10 November 2022 | 8:02pm
Foto ihsan Facebook Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Foto ihsan Facebook Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

Gangguan operasi LRT: MOT pantau kerja kenal pasti masalah, baik pulih sistem

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus memantau kerja mengenal pasti masalah dan proses membaik pulih sistem kawalan tren automatik (ATC) perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang mengalami gangguan operasi sejak Sabtu lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam hantaran melalui Facebook beliau, berkata MOT akan berganding bahu dengan Pusat Kawalan Operasi (OCC) Laluan Kelana Jaya, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), dan Rapid Rail dalam usaha menangani masalah terbabit.

"Kementerian akan memantau perkembangannya dengan teliti dan memastikan keupayaan perkhidmatan pengangkutan awam itu dapat beroperasi dengan selamat tanpa kompromi.

"Pasukan terbabit meliputi pihak OCC sudah menguji sistem yang terjejas secara berterusan serta menjalankan simulasi pergerakan tren selang dua minit setengah dan menganalisis log data sejak beberapa hari lalu.

"Dua lagi pakar dari Thales Group kini dalam penerbangan dari Toronto, Kanada, dan akan mula melakukan pemeriksaan serta-merta sejurus tiba. Prasarana dan Thales sudah berhubung rapat sejak Isnin lalu," katanya.

Ka Siong berkata, pihaknya akan giat membantu usaha berkaitan supaya pengangkutan awam terbabit dapat kembali beroperasi secepat mungkin.

"Sudah tentu kami mahu sistem itu beroperasi semula lebih awal daripada penggantungan tujuh hari seperti yang diumumkan.

"Namun yang paling penting, soal keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, jumlah bas pengantara sudah ditambah kepada 112 buah, termasuk dengan sokongan daripada Smart Selangor dan MARA Liner.

"Terima kasih kerana memberi sokongan, dan kami akan terus memantau keadaan bagi memastikan barisan serta masa menunggu pada tahap minimum," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Rapid KL mengumumkan 16 stesen LRT bermula dari Kelana Jaya hingga Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula semalam.

Berikutan itu, dianggarkan kira-kira 200,000 pengguna terjejas dan terpaksa beralih kepada mod pengangkutan lain untuk urusan harian, sekali gus menyaksikan trafik di ibu kota semakin sesak pada waktu puncak.

Berita Harian X