KUALA LUMPUR: Individu yang menjadi penyampai maklumat atau 'whistleblower' perlu yakin terhadap kredibiliti institusi penguatkuasaan negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak berkongsi persepsi yang boleh mengakibatkan salah anggap dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed, berkata agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan polis mempunyai tatacara kerja yang tersendiri terutama dalam usaha membawa pesalah rasuah ke muka pengadilan.
Setiap 'whistleblower' yang yakin dengan kredibiliti SPRM dan polis, pastinya tidak mempunyai tanggapan yang mendakwa agensi penguatkuasaan itu tidak membuat kerja, sedangkan pelaksanaan tugas mereka berbeza daripada tanggapan umum.
"Adalah penting untuk membuat laporan kepada agensi yang bertanggungjawab menyiasat kerana ia adalah tindakan yang sepatutnya diambil oleh mereka yang mempunyai maklumat sedemikian.
"Analoginya mudah, jika kes buli terjadi di sekolah bagaimana seorang guru besar atau guru mahu mengambil tindakan sekiranya tiada laporan daripada mangsa atau ibu-bapa. Sekiranya hanya 'bising' di media sosial apa tindakan segera yang boleh dilakukan tanpa aduan rasmi.
"Semua pihak harus percaya dengan kredibiliti agensi yang menyiasat dan tidak boleh beranggapan atau membuat persepsi tiada tindakan diambil, memandangkan tiada pendedahan umum siasatan sedang dijalankan. Seperti mana kita tahu, surat layang pun SPRM akan siasat," katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli semalam yang mendakwa hampir semua skandal penyelewengan dan pendedahan yang dilaporkan kepada polis dan SPRM tidak diambil tindakan.
Rafizi berkata, sepanjang 10 tahun pengalamannya mendedahkan skandal berkenaan, salah laku itu hanya dibawa ke muka pengadilan selepas mendapat perhatian rakyat.
Beliau ditanya pemberita mengenai gesaan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya Rafizi melaporkan pendedahan mengenai kelulusan projek tebatan banjir yang dibuat selepas pembubaran Parlimen kepada SPRM.
Mengulas lanjut, Mohamad Shakil berkata, SPRM mempunyai tatacara kerja tersendiri selain terikat sebagai penjawat awam yang tidak boleh mendedahkan setiap aspek siasatan.
"Setiap isu yang dilaporkan akan disiasat terlebih dahulu untuk membuktikan ada asas seperti yang didakwa oleh pengadu sebelum siasatan lanjut dijalankan. Selepas siasatan berlangsung, ia akan diserahkan kepada pejabat pendakwa untuk tindakan seterusnya dan kemungkinan ia akan dihantar semula apabila dilihat siasatan tidak lengkap.
"Proses tindakan tidak berlaku dalam tempoh 'hari ini lapor, esok tangkap'... ia tidak begitu kerana banyak proses berlangsung sebelum orang yang terbabit di bawa ke muka pengadilan. Jika siasatan tidak lengkap atau tidak matang, mereka yang dituduh akan terlepas begitu sahaja," katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Rafizi, beliau berkata, kenyataan calon Parlimen Pandan itu adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan polemik kerana ditimbulkan sewaktu kempen pilihan raya.
"Saya percaya SPRM sedang meneliti kes itu dan kemungkinan menubuhkan pasukan untuk menyiasat dakwaan berkenaan tetapi kes itu tidak akan berjalan dan diselesaikan dalam tempoh sehari dua sahaja selepas isu itu dibangkitkan," katanya.