Khamis, 10 November 2022 | 3:56pm

Bantuan Keluarga Malaysia dipercepat mulai 15 November

BERA: Kerajaan bersetuju mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat bermula 15 November sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, pembayaran membabitkan peruntukan bernilai RM2.1 bilion akan memberi manfaat kepada 5.2 juta penerima pelbagai kategori.

Beliau berkata, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Menurutnya, bayaran secara berperingkat yang dijangka selesai 18 November ini akan membantu penerima membuat persediaan menghadapi banjir.

"Keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa Empat daripada Disember kepada November adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada pertengahan bulan ini.

"Jika bayaran dikreditkan lewat dan sudah berlaku banjir, ia akan menyusahkan rakyat untuk mengeluarkan wang di bank," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Bor di Kuala Bera, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Datuk Sabariah Saidan.

Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan, RM8 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi 2022.

Beliau berkata semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November ini dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran boleh dirujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BKM melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

Kerajaan bersetuju mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat bermula 15 November sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut. - Foto hiasan
Kerajaan bersetuju mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat bermula 15 November sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut. - Foto hiasan
Berita Harian X