Khamis, 10 November 2022 | 1:59pm
Calon Barisan Nasional Parlimen Titiwangsa P119, Datuk Seri Johari Ghani beramah mesra dengan pengundi di Gerai Makan Lorong Kiri 12 Keramat. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Calon Barisan Nasional Parlimen Titiwangsa P119, Datuk Seri Johari Ghani beramah mesra dengan pengundi di Gerai Makan Lorong Kiri 12 Keramat. - Foto NSTP/Aswadi Alias

PRU15: Kalau ramai orang sokong KJ, kenapa tidak?

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin perlu memberi tumpuan untuk memenangi kerusi yang ditandingi terlebih dahulu sebelum bercerita mengenai jawatan dalam pentadbiran negara dan parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata soal menjadi Perdana Menteri, sama ada ketika ini atau pada masa depan bukan perkara utama ketika ini, sebaliknya tumpuan adalah untuk memenangi sebanyak mungkin daripada 222 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.

Katanya, usaha memastikan kemenangan BN bukan tugas satu individu, sebaliknya parti itu perlu bergerak sebagai satu pasukan dan membentuk kerajaan menerusi Ahli Parlimen yang berkemampuan dan memiliki kredibiliti, serta boleh bekerjasama untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas.

"Kalau ramai orang menyokong dia (Khairy menjadi Perdana Menteri), kenapa tidak? Tak ada masalah.

"Tapi soalnya sekarang kita bukan bercakap soal Perdana Menteri, tapi kita bercakap tentang nak dapatkan 222 ahli Parlimen yang mempunyai kelayakan, kecekapan dan pengalaman untuk membangunkan semula ekonomi negara kita yang telah terjejas.

"Satu orang tak boleh buat. Kita perlukan satu pasukan, Ahli Parlimen yang mempunyai pandangan yang sama, bakat yang sama, kebolehan yang sama untuk membangunkan negara ini," katanya ketika melawat kawasan sekitar Kampung Datuk Keramat, hari ini.

Calon Barisan Nasional Parlimen Titiwangsa P119, Datuk Seri Johari Ghani beramah mesra dengan pengundi di Gerai Makan Lorong Kiri 12 Keramat. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Calon Barisan Nasional Parlimen Titiwangsa P119, Datuk Seri Johari Ghani beramah mesra dengan pengundi di Gerai Makan Lorong Kiri 12 Keramat. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Selasa lalu, Khairy dalam satu ceramah di Sungai Buloh, menyatakan hasrat memimpin UMNO dan menjadi Perdana Menteri satu hari nanti, dan yakin impian itu mampu dicapai sekiranya beliau berjaya menawan kerusi Parlimen Sungai Buloh untuk BN.

Ketika ini, Khairy berdepan tugas getir untuk merampas kerusi Sungai Buloh yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal, dengan keputusan PRU14 menyaksikan R Sivarasa yang mewakili PH menang dengan majoriti 26,634 undi.

Berita Harian X