KUALA LUMPUR: Dengan jangkaan undi daripada pengundi Melayu berpecah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disebabkan saingan membabitkan banyak gabungan dan penjuru, pembentukan kerjasama merentasi gabungan parti dijangka hampir pasti berlaku selepas 19 November ini.
Isu kerjasama antara parti untuk membentuk kerajaan pasca PRU15 timbul selepas pelbagai kajian, penyelidikan dan penganalisis politik merumuskan amat sukar untuk mana-mana gabungan secara sendiri dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah pada PRU kali ini.
Malah, bayangan mengenainya juga sudah diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui Barisan Nasional (BN) mungkin terpaksa bekerjasama dengan gabungan lain sekiranya gagal membentuk kerajaan dengan majoriti mudah selepas PRU15.
Ini kenyataan terbuka pertama Ahmad Zahid mengenai kerjasama antara parti menjelang PRU15 selepas sebelum ini menolak sebarang usaha untuk membentuk pakatan, termasuk cadangan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) yang turut disertai BERSATU.
Kenyataan Pengerusi BN itu kemudian disambut Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menafikan kemungkinan kerjasama antara parti selain memberi jaminan ia akan dibincangkan pada peringkat Majlis Pimpinan PN apabila tiba masanya nanti.
Pendirian sama untuk menjalinkan kerjasama selepas PRU15 turut disuarakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, namun beliau meletakkan syarat tidak mahu bergandingan dengan parti terpalit rasuah.
Namun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak kerjasama dengan gabungan lain, termasuk menyangkal wujudnya rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Ahmad Zahid, selain menolak Mahathir dan Muhyiddin yang pernah mengkhianati PH sebelum ini.
Mengulas mengenai situasi itu, penganalisis politik berpendapat tiada parti dominan mampu mencapai majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu kerana sukar untuk memahami trend pengundian kali ini, selain peratusan pengundi atas pagar dilihat semakin besar pengaruhnya.
Atas dasar itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata kemungkinan pembentukan kerajaan campuran adalah besar di mana ia boleh dilakukan melalui dua kaedah iaitu sama ada membabitkan kerjasama antara dua gabungan atau antara parti dalam satu-satu gabungan beralih arah menyertai gabungan lain.
Pandangan beliau, kemungkinan yang paling dekat kerajaan campuran boleh terbentuk dengan mengulangi format kerjasama yang dilaksanakan sebelum PRU15 iaitu BN dan PN selain disertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Ini kerana dua gabungan ini sangat hampir dari sudut ideologinya. Selain itu, anggota kedua-dua gabungan saling mengenali secara rapat kerana sebahagian besarnya daripada BN.
"Malah, kelancaran pentadbiran negara sewaktu pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menggambarkan keserasian dua gabungan ini bekerjasama," katanya kepada BH.
Muhammad Fathi bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kerajaan campuran BN dan PH atau PN dan PH walaupun ia dianggap mustahil oleh sesetengah pihak.
Ini kerana katanya, meskipun rata-rata pemimpin UMNO sukar bekerjasama dengan DAP atau Anwar, namun hubungan baik Ahmad Zahid dan Anwar boleh menjadi pendorong ke arah itu.
Untuk rekod, Perhimpunan Agung UMNO 2020 memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PH menerusi slogan "No Anwar, No DAP".
"Kerjasama membabitkan PN dan PH mungkin sukar berikutan PAS sudah serik untuk bergandingan dengan DAP dan parti serpihannya AMANAH. Jika berlaku kerjasama sekalipun adalah antara PH dan BERSATU.
"Namun persoalan siapakah yang akan mengetuai gabungan itu nanti adalah bergantung kepada keputusan PRU15 di mana gabungan yang lebih besar lebih layak memimpin," katanya.
Gencatan perbezaan ideologi
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib@Khalid yakin setiap parti bersedia melakukan gencatan perbezaan ideologi dengan mengambil kira 'kepentingan kumpulan strategik' untuk membentuk kerajaan campuran apabila tiba masanya.
Beliau percaya semua parti berjiwa besar untuk membentuk kerajaan campuran apatah lagi semua gabungan sedia ada mempunyai pengalaman mentadbir dan pernah merasai 'kemanisan' memegang kuasa selepas PRU14.
Selain itu katanya, Akta Anti Lompat Parti juga tidak menghalang mana-mana parti atau gabungan untuk 'melompat' membentuk kerjasama yang boleh menjadi faktor terbentuknya kerajaan campuran.
"Walaupun adanya kajian yang menyatakan BN adalah gabungan dominan namun perubahan cita rasa pengundi bersifat dinamik dan ia belum tentu menunjukkan gabungan itu boleh membentuk kerajaan dengan memperoleh undi majoriti.
"Saya melihat desas-desus kerjasama antara BN dan PH mungkin benar apatah lagi Ahmad Zahid mempunyai sejarah yang baik dengan Anwar dan ini adalah sesuatu yang menarik untuk dinantikan pasca PRU15," katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan pula berkata walaupun potensi pembentukan kerajaan campuran dilihat tinggi, namun yakin kerjasama tidak akan terbentuk antara PH dan BN.
Beliau berkata, PH pastinya tidak akan menjerat diri sendiri dengan menggadaikan ideologi politik melalui kerjasama dengan musuh tradisi, BN apatah lagi bayangan ke arah itu juga sudah ditentang awal oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Selain itu, katanya, PH juga pastinya sudah belajar daripada kesilapan lalu apabila selepas dikhianati BERSATU melalui Langkah Sheraton, sekali gus tidak memungkinkan kerjasama politik dengan PN.
"Saya melihat jika ada kerjasama dalam pembentukan kerajaan campuran, parti yang mendominasi undi Melayu akan ada kelebihan untuk berganding bahu dengan parti yang kurang mendapat undi orang Melayu.
"Dalam aspek pembentukan kerajaan campuran ini, saya percaya jika PH mendominasi undi nanti, pakatan itu mungkin akan mengintai peluang parti dari Sabah atau Sarawak, khususnya dari WARISAN," katanya.