Khamis, 10 November 2022 | 10:54am

COVID-19: Kes jangkitan baharu 3,267 kes, 10 kematian

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,267 kes baharu COVID-19 direkodkan manakala 10 kematian akibat jangkitan itu dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus yang mula di kesan di negara ini lebih dua tahun lalu, meningkat kepada 4,898,624 kes.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang KKMNOW menunjukkan 3,265 kes adalah penularan tempatan, manakala dua lagi kes import.

Secara keseluruhannya, negara masih mempunyai 34,829 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu, sebanyak 95 peratus bersamaan 33,103 kes sedang dalam kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, terdapat 1,635 kes atau 4.7 peratus sudah mendapatkan rawatan lanjut di hospital, unit rawatan rapi (ICU) 28 kes dan 63 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengikut laporan KKMNOW, 10 kes kematian akibat jangkitan itu dilaporkan semalam dengan dua daripadanya meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).

Ia menjadikan sehingga kini jumlah angka korban di negara ini sudah mencecah 36,514 kes dengan 7,772 kes pula meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Bagi jumlah kes sembuh di negara ini, setakat semalam terdapat sebanyak 4,026 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada jangkitan berkenaan adalah 4,865,677 kes.

Berita Harian X