KUALA LUMPUR: Susulan penutupan 16 stesen Transit Aliran Ringan (LRT) membabitkan laluan dari Stesen LRT Kelana Jaya sehingga Stesen LRT Ampang Park, Rapid KL mengambil langkah tambahan bagi penumpang yang terjejas.
Bermula esok, Rapid Bus akan menambah 20 lagi bas perantara percuma hasil kerjasama Smart Selangor, selain 83 bas perantara seperti dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, hari ini.
Jumlah bas perantara kepada lebih 100 bas itu adalah bagi menampung penumpang di lima laluan seperti disiarkan oleh Rapid KL sebelum ini.
Lima laluan itu terbahagi kepada laluan LRT 1 membabitkan Stesen Ara Damansara-Stesen Pasar Seni, laluan LRT 2 membabitkan Stesen Ara Damansara-Stesen Kelana Jaya serta laluan LRT 3 membabitkan Stesen Kelana Jaya-Stesen Pasar Seni.
Laluan LRT 4 membabitkan Stesen Pasar Seni-Stesen Masjid Jamek dan laluan LRT 5 membabitkan Stesen Masjid Jamek-Stesen Dato Keramat.
Bagi menambah jumlah kakitangan di stesen serta untuk meningkatkan kawalan pergerakan penumpang, seramai 80 orang dari kalangan warga Prasarana akan ditempatkan di stesen untuk membantu penumpang dari segi memberi panduan untuk menaiki bas perantara.
Bagi penumpang yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan, pihak Rapid Rail akan memberi tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.
Ini akan dilaksanakan selepas perkhidmatan laluan berkenaan dipulihkan dan maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat.