BUKIT MERTAJAM: Selepas lima hari berkempen, calon-calon parti lain yakin dapat menembusi kerusi parlimen di Pulau Pinang yang dianggap kubu kuat Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, berkata setakat ini kempen berjalan lancar dengan keseluruhan jentera parti berada dalam momentum yang tinggi dan semua gerak kerja dilaksanakan dengan penuh disiplin untuk memenangi hati penduduk.
"Penerimaan rakyat yang dipaparkan dalam siri kempen saya dari pagi hingga ke lewat malam begitu luar biasa. Mengikut pengalaman saya dalam siri-siri pilihan raya kecil dan PRU sebelum ini, pada pendapat saya penerimaan rakyat kali ini jauh berbeza.
"BN dalam kempen PRU15 telah berjaya menembusi kubu-kubu kuat PH yang selama ini kita tidak mampu lakukan," kata Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh itu kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata sekiranya diberikan kepercayaan oleh rakyat Permatang Pauh, antara ikrar beliau adalah membina sekolah rendah baharu untuk menampung kepadatan pelajar di kawasan Seberang Jaya, memohon pembinaan perumahan rakyat untuk golongan B40 serta memastikan perancangan dan pembinaan jalan baharu bagi mengelakkan kesesakan teruk.
Mohd Zaidi berdepan pertandingan empat penjuru di kerusi parlimen itu termasuk penyandang Nurul Izzah Anwar (PH-PKR), Muhammad Fawwaz Mat Jan (PN-PAS) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang-Putra).
Pada PRU14, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan 35,534 undi, menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 15,668 undi.
Dalam sidang media berasingan, calon kerusi Parlimen Bayan Baru yang juga Koordinator Warisan Pulau Pinang Jeff Ooi Chuan Aun berkata, beliau yakin parti itu mampu memberi persaingan kepada gabungan parti lain yang bertanding.
"Kita akui kita underdog (bukan pilihan), namun menerusi analisis yang dijalankan terhadap mood (suasana) pengundi di Pulau Pinang masih sukar dijangka, pengundi Cina teragak-agak untuk mengundi, undi Melayu berpecah tiga, manakala pengundi India masih berdiam diri," katanya.
Beliau berkata rakyat berharap kerajaan yang bakal dipilih adalah lebih stabil, mantap dan lebih maju ke hadapan dan bukan hanya berpolitik.
"Kita mahu mencari peluang untuk melantik sekurang-kurangnya beberapa Ahli Parlimen baharu dari Pulau Pinang menerusi Parti Warisan untuk diberikan peranan penting," katanya yang tidak menolak kemungkinan parti itu akan menjadi kingmaker pada PRU15 sekiranya berjaya meraih undi pengundi Sabah dan Sarawak.
Pada PRU15, Warisan Pulau Pinang turut mengetengahkan tiga lagi calon iaitu Ong Chin Wen di kerusi Parlimen Batu Kawan, Martin Lim (Jelutong) dan Mohd Akmal Azhar (Tasek Gelugor). – BERNAMA