Rabu, 9 November 2022 | 4:17pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, beramah mesra dengan penduduk yang juga pekebun kecil selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Daerah Padang Terap di Kampung Baru Padang Sanai di sini, hari ini - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, beramah mesra dengan penduduk yang juga pekebun kecil selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Daerah Padang Terap di Kampung Baru Padang Sanai di sini, hari ini - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

BN mahu majoriti bentuk kerajaan bukan bergabung

KUALA NERANG: Barisan Nasional (BN) memasuki pilihan raya untuk mendapatkan majoriti membentuk kerajaan dan tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya BN akan bergabung dengan PH jika gagal mendapatkan majoriti mudah hanya berasaskan andaian dan mahu memberi gambaran salah kepada pengundi ketika berkempen.

"Tan Sri Muhyiddin memberi ucapan atau kenyataan itu (untuk) boleh memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN), orang Melayu rata-ratanya takut dengan perkataan DAP. Jadi lebih baik tak payah bagi undi kepada BN sebab BN nak bekerjasama dengan PH dan itu memberi gambaran yang salah kepada masyarakat.

"Sebab tak pernah ada pun di mana-mana kenyataan (pimpinan) BN malah dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini pun sebut 'no DAP no Anwar' jadi maknanya kita sudah memberi satu petunjuk yang jelas.

"Soal-soal nak bergabung (dengan PH) tak timbul," katanya ketika ditemui selepas Program Sembang Santai Bersama Ahli Koperasi Perserta Rancangan FELCRA Berhad di Pusat Komuniti, Padang Kerasak di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bakal wujud kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasca PRU15 bagi membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata BN secara jelas masuk ke gelanggang PRU dengan matlamat mendapat majoriti dan membentuk kerajaan.

Katanya, BN tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu bersama PH.

"Kita lawan dululah, kita ada banyak gabungan parti yang masuk sekarang, PN, PH, Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), saya ingat kita pergilah berkempen secara berhemah bawakan kita punya naratif dan optik yang betul kepada rakyat.

"Pertama BN sediakan manifesto yang praktikal, yang kedua, kita menyediakan seseorang yang menjadi Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob... jadi kita serahkan kepada rakyat kita yang pelbagai kaum.

"Setakat lebih 50 tahun kita memerintah tidak pernah BN pinggirkan kaum-kaum yang ada di negara ini termasuk Kadazan, Iban, Dusun, Dayak dan Murut, semua mereka termasuk dalam gagasan dan wawasan BN," katanya.

Ketika ditanya mengenai kedudukan atau penerima rakyat terhadap BN ketika ini, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata pihaknya yakin akan mencapai sasaran menang di banyak kawasan susulan peningkatan sokongan rakyat.


Suara Kita

Berita Harian X