Rabu, 9 November 2022 | 3:31pm
Calon Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaludin Abu Bakar beramah mesra bersama petugas hospital ketika hadir merasmikan Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan peringkat Hospital Sungai Buloh. - Foto fail NSTP
Calon Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaludin Abu Bakar beramah mesra bersama petugas hospital ketika hadir merasmikan Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan peringkat Hospital Sungai Buloh. - Foto fail NSTP

Malaysia perlu pemimpin berkarisma seperti KJ - Penganalisis

SUNGAI BULOH: Malaysia memerlukan pemimpin berkarisma, berwibawa boleh melaksana tugas sebaiknya seperti Khairy Jamaluddin.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berkata sikap sebegitu yang dimahukan rakyat dalam diri seorang pemimpin.

"Beliau sudah membuktikan semasa menjadi menteri terutamanya Menteri Kesihatan, malah sehingga kini beliau berkempen pun masih menjalankan tugas menteri.

"Ini yang kita mahukan ada dalam pemimpin politik. Berwibawa, boleh menjalankan tugas dengan baik walaupun tidak mempunyai kepakaran tapi mampu mencerna nasihat dan cadangan diberikan oleh mereka yang pakar.

"Jadi saya melihat beliau sebagai Menteri Kesihatan menjadi petunjuk dan (Parlimen) Sungai Buloh adalah cabarannya," katanya kepada BH hari ini.

Azmi berkata, apa yang ditawarkan Khairy (jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri) tidak semestinya terus menjadi kenyataan selepas PRU15.

"Tetapi (tawarannya) menjadi pemangkin kerana selepas PRU15 calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Tetapi kemungkinan selepas itu sama ada ketika pemilihan UMNO enam bulan selepas PRU15 maka KJ kalau mahu menjadi Perdana Menteri pasca PRU15 perlu mencabar jawatan Presiden, itu hakikat dalam hirarki setiap parti tidak kira UMNO atau parti lain," katanya.

Tambah beliau, banyak lagi yang perlu dilakukan Khairy untuk mencapai hasrat yang ditawarkan olehnya.

"Saya tidak melihat tawaran itu sebagai menongkah arus strategi BN dalam PRU15 kerana hakikatnya selepas pasca PRU15, kalau BN membentuk kerajaan Persekutuan, Ismail Sabri adalah calon perdana menterinya, bukan orang lain.

"Jadi dalam hal ini perjalanan Khairy masih panjang, tidak semestinya PRU15, mungkin dua atau tiga tahun lagi, tapi hakikatnya ialah kita perlukan karisma pemimpin dan Perdana Menteri seperti dipamerkan Khairy," katanya.

Semalam, Khairy menyuarakan hasrat memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.

Pada pentas ceramah di Taman Saujana Utama, di sini beliau yang kali pertama menyatakannya secara terbuka hasratnya itu bagi meraih sokongan pengundi di Parlimen itu untuk memilihnya pada PRU15, 19 November ini.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan itu menjelaskan jawatan itu bukan menjadi hasratnya ketika ini kerana persetujuan sudah dicapai bahawa Ismail Sabri yang disifatkan sebagai kekandanya, akan menjadi Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15.

Berita Harian X