Rabu, 9 November 2022 | 2:58pm

Penduduk ambil pendekatan tunggu, lihat sebelum pilih calon

SUNGAI BULOH: Sejak berita Khairy Jamaluddin tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau di Negeri Sembilan yang disandangnya, kedudukan Menteri Kesihatan itu sentiasa menarik perhatian seluruh negara.

Selepas dikaitkan dengan beberapa kerusi, Kuala Pilah, Tampin, Port Dickson, malah Alor Setar, akhirnya Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu mendapat kepercayaan Barisan Nasional (BN) bertanding di Parlimen Sungai Buloh.

Tumpuan turut beralih ke Sungai Buloh, apatah lagi Pakatan Harapan (PH) turut membuat kejutan dengan menggugurkan wakil PKR, R Sivarasa yang menyandang kerusi berkenaan selama tiga penggal.

Serentak itu, tiada pihak yang berani meramalkan siapa yang berupaya muncul pemenang untuk mewakili masyarakat Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November nanti.

Dalam pertembungan tujuh penjuru itu, Khairy awal-awal lagi mengakui dirinya sebagai calon underdog dan menganggap pencalonannya di kerusi itu sebagai cabaran terbesar yang mungkin boleh menamatkan kerjaya politiknya.

Katanya lagi, kerusi itu bukan putih atau kelabu untuk BN, tetapi gelap gelita dan walaupun beliau nama besar yang dikenali di seluruh negara, terutama ketika mengendalikan situasi COVID-19, Khairy tetap perlu bekerja keras.

Parlimen Sungai Buloh mengandungi 158,090 pengundi dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Paya Jaras serta Kota Damansara.

Pemilihan bekas Ketua Pemuda UMNO itu turut memberi kesan kepada PH kerana selepas nama Menteri Kesihatan itu diumumkan, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, menerusi ciapannya memberi bayangan seolah-olah kerusi itu akan bertukar calon.

PH menamakan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk R Ramanan, namun Rafizi memaklumkan beliau akan mengadakan perbincangan mengenai kerusi Parlimen itu dengan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mendapat maklum balas daripada pengundi.

Namun, desas-desus penukaran calon PH itu tidak menjadi kenyataan apabila Ramanan dikekalkan di kerusi berkenaan bagi menggantikan Sivarasa dengan tekad menewaskan Khairy dan mengekalkan Sungai Buloh dalam tangan pakatan itu.

Bukan sahaja PH, calon Bebas yang menggunakan simbol buku, Nurhaslinda Basri, 33, atau mahu dikenali sebagai Sifu Linda juga tekad untuk menumbangkan penyandang kerusi Parlimen Rembau itu.

Sifu Linda yang juga satu-satunya calon wanita dilaporkan berkata, sebagai anak jati Kampung Kedondong di Sungai Buloh, beliau nekad bertanding walaupun perlu berdepan nama besar termasuk berstatus menteri.

Ringkasnya, semua enam calon lain dilihat seperti 'bersepakat' untuk menewaskan Khairy yang akan masuk penggal keempat bertanding kerusi Parlimen dalam sejarah PRU.

Calon lain adalah wakil Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Mohd Akmal Mohd Yusof; Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia); Mohd Ghazali Md Hamim (PN) dan Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff (Bebas).

Jadi nilai tambah

Pilihan akhirnya terletak pada tangan pengundi yang hanya mahukan kebajikan mereka terbela meskipun calon itu bukan dalam kalangan orang tempatan.

Jika ditanya penduduk, rata-rata mengakui mengenali Khairy.

Itu boleh dijadikan nilai tambah untuk Menteri Kesihatan berkenaan, namun kebanyakan penduduk lebih selesa mengambil pendekatan tunggu dan lihat calon ketika tempoh berkempen sebelum membuat keputusan memilih individu tepat untuk mewakili mereka kelak.

Pekan Sungai Buloh. - NSTP/Amirudin Sahib
Pekan Sungai Buloh. - NSTP/Amirudin Sahib

Malah, penduduk juga mahukan seorang pemimpin yang tidak meletakkan jurang, terutama jika berbeza agama atau fahaman politik ketika menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen mewakili mereka.

Bagi Muhamad Fitri Muhamadan, 33, calon yang dipilih nanti mestilah seorang yang cergas dan fokus kepada golongan belia di kawasan Parlimen itu.

"Contohnya bangunkan pusat sukan yang mampu diakses semua. Ini kerana tempat untuk beriadah di sini sekarang kebanyakannya berbayar.

"Itu salah satu punca mengapa anak muda lakukan aktiviti tak berfaedah kerana tiada tempat beriadah, semuanya memerlukan duit.

"Kalau boleh, harga yang diletakkan janganlah membebankan," katanya yang akan mengundi buat kali kedua dan mengakui belum memikirkan calon akan dipilihnya pada 19 November nanti.

"Saya akan lihat cara mereka berkempen, yang mana okay saya akan pilih," katanya.

Penduduk, Govinda Raju, 39, pula berkata pemilihan calon pada PRU15 mestilah yang boleh membawa kemajuan di kawasan berkenaan seterusnya dapat membuka peluang pekerjaan kepada anak muda.

"Di sini memang anak muda susah untuk cari kerja tetap, mereka hanya bekerja sambilan. Kita mahukan lebih banyak peluang pekerjaan di sini dengan gaji yang berpatutan.

"Soal calon luar atau orang tempatan saya tidak kisah, asalkan mereka dapat menjalankan amanah yang diberikan sebaiknya," katanya.

Majoriti pengundi Melayu

Parlimen Sungai Buloh terbentuk hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya dan sebelum ini dikenali sebagai Parlimen Subang Jaya.

Majoriti pengundi di kawasan berkenaan adalah Melayu iaitu sebanyak 71.2 peratus.

Pada PRU14, dalam persaingan empat penjuru, Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari PAS yang memperoleh 16,977 undi, A Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (642).

Secara tradisi bagi BN, kerusi Sungai Buloh ditandingi oleh MIC, namun parti itu kalah kepada PKR tiga penggal berturut-turut.

Jumlah pengundi keluar mengundi pada PRU14 adalah sebanyak 82.32 peratus yang mewakili seramai 12,229,514 orang daripada 14,940,624 pemilih berdaftar.


Suara Kita

Berita Harian X