SUNGAI BULOH: Khairy Jamaluddin menjelaskan hasratnya untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti adalah harapan dan visi masa depan yang perlu diberi kepada orang muda dan rakyat Malaysia.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh itu berkata, visi itu penting untuk memaklumkan bahawa UMNO mempunyai pelan perancangan dan kesinambungan dalam kepimpinan.
"Sekarang ini, kita berdepan dengan segmen pengundi yang sangat-sangat muda. Sungai Buloh antara kawasan Parlimen yang paling banyak penambahan pengundi muda.
"Mereka dahagakan satu visi masa hadapan dan mereka hendak tengok BN atau UMNO ini mempunyai pemimpin pelapis ataupun tidak.
"Kalau tidak, mereka confuse (keliru), siapa nak jadi Perdana Menteri, siapa seterusnya dan sebagainya. Kita kena beri mereka strategi bahawa ini pilihan yang diberi UMNO," katanya selepas sesi ramah mesra dan turun padang sekitar Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas hasrat disuarakannya pada pentas ceramah di Taman Saujana Utama, di sini, malam tadi, yang mahu memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.
Khairy, kali pertama menyatakan hasrat itu secara terbuka, bertujuan meraih sokongan pengundi di Parlimen itu untuk memberinya mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan itu menjelaskan, jawatan itu bukan menjadi hasratnya ketika ini kerana persetujuan sudah dicapai bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang disifatkan sebagai kekandanya, akan menjadi Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15.
Dalam ucapannya malam tadi, Khairy sekali lagi menegaskan, bahawa calon Perdana Menteri adalah Ismail Sabri.
"Saya harap saya dapat mainkan peranan yang penting dalam Kabinet atau jemaah menteri Ismail Sabri apabila beliau dipilih dan dilantik semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.
"Selepas Ismail Sabri, saya menyatakan aspirasi saya untuk menawarkan diri saya sebagai pemimpin dalam UMNO dan insya-Allah selepas itu untuk memimpin negara kita," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Dasar Generasi Penamat (GEG) yang tidak dimasukkan dalam manifesto BN, Khairy berkata, beliau tetap akan terus menyokong dasar terbabit.
"Sekiranya saya dilantik semula, saya pasti akan bentangkan semula semua yang sudah dipinda oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen," katanya.