Rabu, 9 November 2022 | 9:45am
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan.

PRU15: Calon BN, PN ada kelebihan tersendiri

KUALA LUMPUR: Setiap calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, dilihat oleh penganalisis memiliki kelebihan tersendiri untuk meraih sokongan pengundi.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berkata barisan calon yang ditampilkan kedua-dua gabungan itu pada PRU ini, mempunyai strategi bijak dalam usaha memperoleh mandat daripada rakyat menerusi pentas PRU15.

Beliau berkata, kekuatan BN terletak berdasarkan barisan calon yang dipertaruhkan merupakan ahli yang 'original' (asli) daripada komponen parti tersebut.

"Namun, calon-calon PN mungkin ada (pada asalnya ahli) dari PKR dan UMNO yang tidak nampak keasliannya, maka ini akan menjadi taruhan sama ada pengundi boleh terima calon-calon sedemikian," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Azmi menyifatkan, BN memiliki kekuatan tersendiri kerana sudah mempunyai sokongan pengundi terutamanya dalam kalangan orang Melayu serta akar umbi yang kuat dan utuh berbanding PN.

"Bagaimanapun, PN boleh menerima sokongan pengundi Melayu kerana berdasarkan statistik semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, mereka mampu menarik sebahagian daripada pengundi Melayu ini cuma ia masih tidak mencukupi untuk menang (pada waktu itu).

"....apabila BN dapat mempertahankan penyokong pengundi Melayu, maka PN hanya mampu menarik pengundi Melayu daripada parti pembangkang lain seperti (penyokong) PKR, Amanah atau Warisan," katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan menerima sebanyak 1,386 kertas pencalonan untuk PRU15 sepanjang tempoh sejam proses penamaan calon berlangsung bermula 9 pagi, pada 5 November lepas.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata daripada jumlah itu, sebanyak 945 kertas penamaan bagi kerusi Parlimen, 434 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya.

Antara nama besar diumumkan bertanding pada PRU kali ini yang mewakili BN ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing iaitu Bagan Datuk dan Bera.

PN pula mempertaruhkan beberapa pemimpinnya termasuk Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertahankan Parlimen Pagoh dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bertanding kerusi Parlimen Tambun.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr P. Sivamurugan berkata kekuatan PN terletak kepada kelebihan calon iaitu dari golongan profesional.

Katanya dari aspek pengagihan kerusi bagi Parlimen dan DUN, gabungan itu menggunakan strategi meletakkan calon mengikut kepentingan setiap kawasan serta parti komponennya bagi memastikan kemenangan pada PRU15.

"Sama ada PN mampu menawan hati pengundi, bagi (calon dari) Bersatu ia bergantung sejauh mana calon itu dapat menarik sokongan diberikan penyokong BN dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

"Namun, bagi PAS, saya berpendapat parti itu masih mampu mempertahankan kerusi yang telah mereka menang pada PRU14," kata pensyarah USM itu.

Sivamurugan berkata bagaimanapun, kemenangan parti masih terletak kepada calon selain dilengkapkan dengan jentera parti yang ampuh.

SPR menetapkan 19 November ini sebagai tarikh pengundian dengan pengundian awal pada 15 November. – BERNAMA

Berita Harian X