Rabu, 9 November 2022 | 9:15am
Ismail Sabri bersama penduduk pada majlis kenduri rakyat di Kampung Bohor, Bera, semalam. - Foto BERNAMA
Ismail Sabri bersama penduduk pada majlis kenduri rakyat di Kampung Bohor, Bera, semalam. - Foto BERNAMA

Ismail Sabri terus terima sokongan padu rakyat

Bera: Pemilihan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai 'poster boy' dan calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) dilihat bertepatan dengan aura dibawa beliau selaku calon Parlimen Bera.

Ini terbukti apabila sambutan hangat diterima Ismail Sabri sepanjang tiga hari berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bermula Sabtu lalu.

Setiap program dan majlis dihadiri Ismail Sabri yang juga calon Parlimen mendapat sambutan hangat rakyat dan ahli BN.

Perdana Menteri menyantuni penduduk dalam tinjauan mesra di pasar sehari Kerayong, Bera. - Foto ihsan PMO
Perdana Menteri menyantuni penduduk dalam tinjauan mesra di pasar sehari Kerayong, Bera. - Foto ihsan PMO

Malah, Naib Presiden UMNO itu juga dilihat tidak kekok mendekati pengundi pelbagai peringkat usia membuktikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno bukan seorang pemimpin bermusim.

Mesra disapa Pak Long oleh rakyat sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19 selama dua tahun, beliau begitu prihatin mendengar masalah yang diadukan masyarakat Bera kepadanya setiap kali hadir pada majlis kempen.

Santuni pengundi Bera

Walaupun tidak berdepan laluan sukar untuk terus mengekalkan kerusi Parlimen Bera bagi penggal kelima, beliau masih terus bekerja keras menyantuni seramai mungkin pengundi sehingga larut malam.

Ketika ditanya mengenai pembaharuan yang akan dibawa, beliau mahu mempertingkatkan kemudahan infrastruktur, ekonomi dan peluang pekerjaan buat warga Bera.

Malah, Ismail Sabri turut memberikan penekanan khusus kepada warga FELDA yang sentiasa memberi sokongan padu kepada BN dalam setiap PRU.

Bahkan, geografi Bera yang mempunyai banyak perkampungan Orang Asli akan terus diperkasakan bagi memastikan taraf kehidupan komuniti itu setanding dengan masyarakat lain di negara ini.

Ketika mengetuai Kabinet Keluarga Malaysia, pelbagai inisiatif yang inklusif diperkenalkan Perdana Menteri bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir ketika negara masih dalam keadaan ketidaktentuan kesihatan dan ekonomi.

"Saya berterima kasih atas sokongan yang diberikan seluruh warga Bera sejak mula menceburi politik sehingga bergelar Perdana Menteri.

"Tidak dinafikan sokongan padu diterima sangat baik sepanjang tiga hari berkempen bukan sahaja kepada saya malah untuk tiga lagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perdana Menteri menyantuni penduduk pada Majlis Ilmu Ride To Jannah di Bukit Mendi, Bera. - (Foto ihsan PMO
Perdana Menteri menyantuni penduduk pada Majlis Ilmu Ride To Jannah di Bukit Mendi, Bera. - (Foto ihsan PMO

"Malah, sokongan daripada pengundi Cina dan India juga bertambah baik dan saya yakin ia dapat diterjemahkan ketika hari mengundi pada 19 November ini," katanya.

Katanya, selaku Perdana Menteri, beliau akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin tanpa mengira latar belakang.

Apa yang penting kini, BN perlu diberikan mandat yang lebih kuat dan menjadi parti dominan di Parlimen supaya kerajaan lebih kukuh dan rakyat boleh menerima manfaat terbaik dalam keadaan dunia yang semakin mencabar.

Perubahan lebih baik

Bagi Tok Batin Sungai Tuang, Berahim Busu, 63, perubahan ketara sudah dinikmati komuniti itu sejak Ismail Sabri menjadi Ahli Parlimen Bera, empat penggal lalu.

"Kami berpuas hati dengan pembangunan yang dibawa Perdana Menteri dan diharap lebih banyak pembangunan dapat dibawanya ke perkampungan Orang Asli kelak.

"Saya mewakili komuniti Orang Asli berharap beliau dan kerajaan akan terus memperjuangkan nasib Orang Asli supaya setanding dengan kaum lain," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi penduduk FELDA Kumai, Yusuf Adlan, 38, kini ramai anak FELDA yang sudah berjaya dan menjawat jawatan penting dalam kerajaan dan agensi swasta.

Katanya, walaupun terletak di luar bandar, kemudahan yang dinikmati warga FELDA di situ berada pada tahap baik.

"Kawasan FELDA di sini sudah berbeza jika dibandingkan sebelum ini kerana kerajaan khususnya menerusi Ahli Parlimen mengambil berat setiap masalah yang dihadapi peneroka.

"Inisiatif diperkenalkan kerajaan BN disifatkan mencakupi pelbagai bidang dan membantu membela serta meningkatkan taraf hidup warga FELDA," katanya.

Berita Harian X