Rabu, 9 November 2022 | 9:15am
Jangkitan harian kes positif baharu COVID-19 di negara ini terus melonjak dengan 3,781 kes dilaporkan setakat malam tadi, berbanding 2,521 kes sehari sebelumnya. - Foto NSTP
Jangkitan harian kes positif baharu COVID-19 di negara ini terus melonjak dengan 3,781 kes dilaporkan setakat malam tadi, berbanding 2,521 kes sehari sebelumnya. - Foto NSTP

Kembali melonjak, COVID-19 catat 3,781 kes baharu

KUALA LUMPUR: Jangkitan harian kes positif baharu COVID-19 di negara ini terus melonjak dengan 3,781 kes dilaporkan setakat malam tadi, berbanding 2,521 kes sehari sebelumnya.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang KKMNOW menunjukkan 3,778 kes adalah penularan tempatan, manakala tiga lagi kes import.

Perkembangan itu menjadikan sehingga kini jumlah penularan COVID-19 di negara ini mencecah 4,937,534 kes sejak ia mula dikesan pada Januari 2020.

Secara keseluruhannya, negara masih mempunyai 36,250 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu, sebanyak 95.1 peratus bersamaan 33,706 kes sedang dalam kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, terdapat 1,676 kes atau 4.7 peratus sudah mendapatkan rawatan lanjut di hospital, unit rawatan rapi (ICU) 28 kes dan 47 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengikut laporan KKMNOW, sembilan kes kematian akibat jangkitan itu dilaporkan semalam dengan tiga daripadanya meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).

Ia menjadikan sehingga kini jumlah angka korban di negara ini sudah mencecah 36,504 kes dengan 7,773 kes pula meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Bagi jumlah kes sembuh di negara ini, setakat semalam terdapat sebanyak 2,979 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada jangkitan berkenaan adalah 4,861,792 kes.

Berita Harian X