Rabu, 9 November 2022 | 12:32am
Calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, pada majlis ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, malam ini. - Foto FB KHAIRY JAMA;UDDIN
Calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, pada majlis ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, malam ini. - Foto FB KHAIRY JAMA;UDDIN

'Saya mahu memimpin UMNO, jadi PM satu hari nanti'

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, menyuarakan hasrat memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.

Kali pertama menyatakannya secara terbuka, Khairy menggunakan pentas ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh malam ini, bagi meraih sokongan pengundi di Parlimen itu untuk memilihnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Khairy Jamaluddin bersama Tun Jeanne Abdullah pada majlis ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, malam ini. - Foto FB KHAIRY JAMALUDDIN
Khairy Jamaluddin bersama Tun Jeanne Abdullah pada majlis ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, malam ini. - Foto FB KHAIRY JAMALUDDIN

"Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya, Sungai Buloh bukan hadnya. Saya bawa orang Sungai Buloh, satu hari nanti, kita pimpin Malaysia... Insya-Allah.

"Dengan takdir Allah, dengan sokongan daripada rakan, satu hari nanti, saya mahu memimpin UMNO. Satu hari nanti, saya mahu menjadi Perdana Menteri anda untuk membangunkan negara ini, tapi saya mesti menang di sini dulu.

"Tidak pernah saya cakap tuan-tuan. Kalau saya cakap begitu, semua MT (Majlis Kerja Tertinggi UMNO) nak 'keratkan' saya, tapi sudah tiba masanya saya menyatakannya," katanya sambil disambut tepukan dan sorakan daripada penduduk yang hadir.

Antara hadirin pada majlis ceramah calon BN di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, malam ini. - Foto FB KHAIRY JAMALUDDIN
Antara hadirin pada majlis ceramah calon BN di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, malam ini. - Foto FB KHAIRY JAMALUDDIN

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan itu menjelaskan jawatan itu bukan menjadi hasratnya ketika ini kerana persetujuan sudah dicapai bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan sebagai kekandanya, akan menjadi Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15.

"I think it's time for me to say it (sudah tiba masa saya menyatakannya) tapi bukan sekaranglah.

"Sekarang ini kita menang, kekanda saya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri Malaysia. Saya baru 46 tahun, boleh tunggu lagi, tapi jangan lama sangatlah. Saya sedia tapi saya kena buktikan di Sungai Buloh ini dulu.

"Kalau orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada orang parti, saya datang ke kandang naga dengan majoriti 26,000 dan saya menang kerusi untuk BN.

"Saya mahu memimpin parti dan saya mahu menerajui negara," katanya.

Berita Harian X