KUALA LUMPUR: Perkhidmatan LRT antara laluan stesen Kelana Jaya dan KLCC dilaporkan tergendala petang tadi, menyebabkan ribuan pengguna terkandas di stesen masing-masing.
Lebih menyukarkan, keadaan berlaku pada waktu puncak ketika sebahagian besar pengguna mula memenuhi stesen untuk pulang selepas tamat waktu kerja.
Wartawan BH yang turut berada di KL Sentral mendapati ramai pengguna merungut kerana gangguan sama turut berlaku semalam.
Semakan di laman sosial rasmi Rapid Kuala Lumpur di Twitter (AskRapidKL) mendapati, ciapan pada jam 4.49 petang ini memaklumkan penutupan laluan LRT Kelana Jaya.
"Stesen LRT Kelana Jaya sehingga Stesen LRT Ampang Park kini telah ditutup kepada pengguna. Penumpang diminta menggunakan perkhidmatan bas perantara percuma atau mengambil mod pengangkutan alternatif lain. Mohon maaf atas kesulitan," katanya.
Seorang pengguna, Muhammad Danish Amri Anuar, 18, berkata ada pengumuman memaklumkan kawalan automatik tren tidak berfungsi ketika ada dalam tren menuju ke KL Sentral.
"Tren mulai bergerak perlahan dari stesen Abdullah Hukum dan setibanya di stesen LRT Bangsar, pintu tren tidak tertutup lama.
"Saya mengambil keputusan keluar dari tren dan menaiki bas ke KL Sentral," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Difahamkan, masalah teknikal turut berlaku malam kelmarin.
Sementara itu, RapidKL menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma untuk membawa penumpang dari stesen LRT Lembah Subang ke LRT Pasar Seni, LRT Pasar Seni ke LRT Lembah Subang, LRT Damai ke LRT Masjid Jamek dan LRT Masjid Jamek ke LRT Damai.
Kemaskini LRT Laluan Kelana Jaya: Bas perantara percuma disediakan di Stesen Lembah Subang – Stesen Pasar Seni dan Stesen Masjid Jamek – Stesen Damai. Sila rujuk LED bas dengan paparan "SEWA KHAS". Sila dapatkan bantuan Polis Bantuan dan Pegawai Stesen. pic.twitter.com/1lU1tacwMc
— Ask Rapid KL (@AskRapidKL) November 8, 2022