Selasa, 8 November 2022 | 4:40pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kanan) menyerahkan Peranti Komuniti kepada wakil pusat komuniti, Siti Sarah Hazamrus, pada program Hari Bersama Komuniti di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Cerakah hari ini. Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (dua kanan). - Foto BERNAMA

Tiada laporan PerantiSiswa cuba dijual

SUNGAI BULOH: Tiada laporan baharu diterima berhubung penjualan peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia setakat ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata pemantauan akan terus dilaksanakan ke atas pelajar yang menerima peranti itu.

"Kita tahu sekiranya peranti itu disalah guna atau tidak berada di kampus dan pergi merata-rata, mereka akan dapat dikesan kerana kita dapat memantau keberadaan (peranti) sekiranya berada di luar kawasan (kampus).

"Contohnya ketika musim belajar, peranti itu hendaklah berada dalam kampus," katanya pada sidang media selepas menyerahkan peranti komuniti kepada wakil komuniti di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia Taman Saujana Utama di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (dua kanan) beramah mesra dengan calon BN Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada program Hari Bersama Komuniti di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Cerakah hari ini. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, daripada 300,000 peranti yang ada, hanya 14 kes diterima membabitkan penjualan peranti itu dengan sebilangan kecil daripada mereka membatalkan niat berbuat demikian selepas setelah diberikan nasihat.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa peranti berkenaan bermasalah, Annuar berkata, tiada laporan sedemikian diterima setakat ini.

Malah, katanya, bekalan peranti terbaharu adalah yang terbaik di pasaran serta berkualiti.

Sementara itu, Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, bekalan telur di seluruh negara dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh dua bulan.

Beliau berkata, penternak ayam dinasihatkan untuk meningkatkan pengeluaran telur berbanding menjual ayam susulan pengumuman subsidi baharu yang dijangka dapat membantu mereka tidak mengalami kerugian.

"Kita akan berusaha memastikan bekalan telur sentiasa ada dan harga tidak meningkat terutama ketika musim perayaan, banjir dan sebagainya.

"Pemain industri juga dinasihatkan tidak menyembelih ayam terlalu awal supaya ia dapat bertelur, selain merayu kepada sesetengah pihak agar tidak menyeludup telur ke negara jiran," katanya.

Pada 1 November lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan kadar subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C sebanyak dua sen, menyebabkan kadar subsidi telur ayam di peringkat ladang berubah daripada lapan sen sebiji kepada 10 sen sebiji supaya harga kawalan runcit kekal bagi telur gred A, B dan C. – BERNAMA

Berita Harian X