Selasa, 8 November 2022 | 4:30pm
 Dr Mohd Hafiezulniezam menunjukkan laporan polis berhubung fitnah yang mengatakan beliau tidak menamatkan pengajian di universiti selain tidak layak menggunakan gelaran doktor. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Dr Mohd Hafiezulniezam menunjukkan laporan polis berhubung fitnah yang mengatakan beliau tidak menamatkan pengajian di universiti selain tidak layak menggunakan gelaran doktor. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

'Kebenaran terbukti, sijil saya sah, hentikan fitnah'

KOTA BHARU: "Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi, akhirnya kebenaran terbukti," kata Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin.

Beliau melahirkan rasa kesyukuran susulan pihak universiti mengesahkan bahawa Dr Mohd Hafiezulniezam sebagai alumni Fakultas Kedokteran, Universiti Gadjah Mada, Indonesia dan ijazahnya diiktiraf oleh universiti berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hafiezulniezam atau dikenali sebagai Dr Hafiz berkata, beliau bersyukur kerana kebenaran akhirnya terbukti, sekali gus menjawab fitnah yang dilontarkan oleh individu tertentu.

Katanya, gelaran doktor dan tauliahnya dalam bidang perubatan juga berdaftar dengan kerajaan Indonesia.

"Kepada musuh politik yang menyebarkan fitnah berkenaan sijil yang saya miliki palsu dan tidak habis belajar, saya harap individu itu memohon maaf.

"Jika individu itu sebar fitnah untuk kepentingan diri, saya harap dia membetulkan semula keadaan. Saya berbesar hati untuk memaafkan. Namun, jika mereka sebar fitnah atas dasar tugas untuk menjatuhkan saya dan bekerja dengan parti lain, teruskan kerja itu sumber rezeki.

"Misi saya hanya satu iaitu mahu berkhidmat dan menjaga kebajikan masyarakat di Pengkalan Chepa jika saya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Dr Mohd Hafiezulniezam membuat laporan polis di Balai Polis Pengkalan Chepa susulan fitnah yang mendakwa beliau tidak menamatkan pengajian di universiti, selain tidak layak menggunakan gelaran doktor.

Beliau menafikan dakwaan itu kerana pernah belajar di universiti di Indonesia dalam bidang perubatan pada 2004 sebelum menamatkan pengajian pada 2009.


Suara Kita

Berita Harian X