KUALA LUMPUR: Turun padang meninjau dan menyantuni penduduk sekitar Parlimen Titiwangsa bukanlah aktiviti bermusim Datuk Seri Johari Abdul Ghani, malah ia sudah sekian lama menjadi rutin bagi bekas Menteri Kewangan itu.
Biarpun tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Johari tidak sedikit pun mengalah, malah tetap turun menyantuni masyarakat Titiwangsa hinggakan ada antara mereka masih menganggapnya sebagai wakil rakyat bagi kerusi Parlimen itu.
Penduduk Kampung Pandan, Norkiah Zahid, 70, berkata mereka sekeluarga teruja dan bersemangat mendengar kemunculan semula Johari yang digelar 'otai berbisa' untuk bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU15.
"Saya sudah kenal beliau lama, malah berkawan baik dengan ibunya. Waktu beliau kalah pada 2018 hati kami hancur, malah ada penduduk menangis.
"Namun kami bersyukur walaupun kalah, dia tetap turun jenguk dan membantu keperluan rakyat lebih daripada peranan wakil rakyat sebenar kawasan sini.
"Jadi, apabila dia bertanding semula kali ini kami bersemangat kerana yakin otai berbisa ini dapat membawa suara kami di sini," katanya.
Bagi Mariam Zaman, 52, beliau mahukan wakil rakyat seperti Johari yang sentiasa mengambil tahu masalah rakyat.
"Apabila kita sokong seseorang wakil rakyat bukanlah untuk balasan, tetapi kita hendak negara kita teguh dan paling penting anak cucu kita terjamin.
"Saya mahukan pemimpin macam Johari yang mesra dan kerap mengambil berat hal rakyat bukan macam sesetengah pemimpin tunjuk muka pada pilihan raya saja.
"Kami berharap Johari dapat merampas semula kembali kerusi Parlimen Titiwangsa ini kerana dia buat kerja dan banyak jasanya kepada kami sampai sekarang," katanya.
Sementara itu, Jashbir Singh, 64, kepemimpinan dan kewibawaan Johari tidak boleh disangkal lagi kerana banyak membawa perubahan dan membela nasib penduduk Titiwangsa.
"Pada saya calon terbaik sudah kembali kerana khidmat bakti yang dilakukannya terlalu banyak berbanding orang lain.
"Saya bukan hanya memuji semata-mata kerana saya sudah mengenalinya sejak 14 tahun lalu dan melihat apa yang sudah dilakukannya," katanya.
Johari yang juga calon Barisan Nasional (BN) akan berdepan bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad, yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Dua calon lain adalah Khairuddin Abu Hassan yang bertanding atas tiket PEJUANG serta doktor gigi, Dr Rosni Adam, yang mewakili Perikatan Nasional (PN) selaku calon tunggal wanita di kerusi itu.