Selasa, 8 November 2022 | 3:04pm

Etiqa lancar pelan Takaful dalam talian lindungi OKU

KUALA LUMPUR: Etiqa Family Takaful Berhad (Etiqa) melancarkan pelan Takaful dalam talian yang pertama seumpamanya dalam menyediakan perlindungan setahun bagi orang kurang upaya (OKU).

i-Care OKU melindungi individu cacat penglihatan, pendengaran, pertuturan serta fizikal. Pelan itu juga direka bagi memudahkan permohonan dibuat tanpa memerlukan pemeriksaan kesihatan.

Pemohon tidak perlu mengemukakan laporan perubatan, sebaliknya hanya perlu berdaftar sebagai pemegang kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

i-Care OKU membolehkan OKU dengan maksimum dua ketidakupayaan untuk menyertainya.

Bagaimanapun ketidakupayaan mereka perlu terdiri daripada gabungan kecacatan fizikal seperti masalah pendengaran, penglihatan ataupun pertuturan.

Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi, berkata insurans adalah antara perkara yang memang diperlukan oleh komuniti OKU.

"i-Care OKU ini adalah satu insurans dikhaskan untuk komuniti OKU. Sebelum ini, orang bukan OKU mudah untuk mendapatkan insurans tetapi untuk kami sebaliknya, terutama insurans bagi membiayai pembedahan dan juga penempatan di hospital.

"Setiap daripada kita akan menjadi OKU satu hari nanti. Mata akan menjadi semakin kabur, pendengaran akan berkurangan. Saya sendiri menjadi OKU di pertengahan hidup saya. Kami tak mahu simpati, kami mahu dilihat setaraf, sama seperti orang lain. Produk hari ini adalah permulaan," katanya ketika merasmikan i-Care OKU di Dataran Maybank, Bangsar.

Yang turut hadir Pengerusi Etiqa, Datuk Majid Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurance, Kamaludin Ahmad.

Sebagai pelan Takaful Keluarga yang direka khas untuk golongan OKU, sumbangan pelan itu bermula daripada 33 sen sehari untuk perlindungan sehingga RM40,000.

Pemegang sijil hanya perlu membayar sekali sahaja dalam masa setahun.

Pemegang sijil Takaful turut menerima wang tunai jika didiagnosis denggi, COVID-19 dan sebarang penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantin mengikut undang-undang di Malaysia.

Elaun hospital harian, perlindungan kematian serta faedah pembayaran balik perubatan akan diberikan.

i-Care OKU daripada Etiqa boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web Etiqa bermula hari ini.

Untuk maklumat lanjut pengguna boleh berhubung di talian 1-300-13-8888.

Ras Adiba (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim (dua dari kanan) serta Pengerusi Etiqa Family Takaful Berhad, Datuk Majid Mohamad (tiga dari kiri) melancar Takaful dalam talian pertama di Malaysia yang melindungi OKU di Dataran Maybank, Bangsar. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Ras Adiba (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim (dua dari kanan) serta Pengerusi Etiqa Family Takaful Berhad, Datuk Majid Mohamad (tiga dari kiri) melancar Takaful dalam talian pertama di Malaysia yang melindungi OKU di Dataran Maybank, Bangsar. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X