SUNGAI BULOH: Meskipun tidak tercalon mempertahankan kerusi, ia bukan penghalang bagi Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Noh Omar membantu Khairy Jamaluddin dalam misi menawan Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Ahli Parlimen Ketereh dan Tanjong Karang itu turun ke Program Penyampaian Peranti Komuniti dan bertemu pengundi di sebuah pasar raya di Taman Saujana Utama, di sini, hari ini.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika berucap membantu Khairy, memohon pengundi Sungai Buloh mengenal pasti rekod Menteri Kesihatan itu sepanjang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Ketua UMNO Ketereh itu berkata ini kerana prestasi sesebuah kerajaan akan diterjemah menerusi khidmat wakil rakyatnya kepada semua lapisan masyarakat.
"Tak ramai menteri 'terjun' ke kawasan kalah, biarpun memperoleh majoriti puluhan ribu di kawasan dimenanginya pada PRU14. Namun, 'benih yang baik insya-Allah dicampak ke laut bakal menjadi pulau'. Ini bukan sahaja soal lambang parti tetapi personaliti beliau.
"Malaysia memerlukan pemimpin berkualiti, bukan yang terbabit dengan rasuah kerana cabaran akan datang ialah mengangkat Malaysia menjadi negara yang hebat dan ia tidak boleh dibuat oleh perasuah.
"Tidak kira siapa (terpilih) kali ini, ia adalah kuasa rakyat. Baik agenda ke hadapan, retorik bermacam-macam, pelbagai janji dan putar belit yang sudah kita lihat lima tahun ke belakang, tunggang langgang. Namun, apa yang kita perlukan sekarang ialah pemimpin berkualiti untuk Malaysia.
"Tolonglah ingat personaliti KJ (Khairy). Orangnya, calonnya yang sudah terbukti beberapa kali dan memang boleh buat kerja, berprestasi boleh 'act local mahupun international'. Bagilah portfolio apa sekalipun boleh dikendalikan dengan baik sebab akhirnya 'stakeholders' adalah rakyat," katanya.
Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), PEJUANG serta dua calon bebas.
Saingan sengit di situ membabitkan Khairy Jamaluddin daripada BN, manakala R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (PEJUANG), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33.
Parlimen Sungai Buloh disandang R Sivarasa daripada PH dengan majoriti 26,634 undi.
Sementara itu, Noh yang juga Pengerusi BN Selangor berterima kasih kerana Khairy bersedia membantu membangunkan semula kepercayaan orang ramai terhadap gabungan itu di negeri berkenaan.
Beliau antara lain menyuarakan keyakinan terhadap Khairy untuk menawan Parlimen Sungai Buloh, selain mengakui bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebelum ini menyatakan kesediaan mengambil risiko untuk bertanding di situ.
"Menerusi kredibiliti dan populariti Khairy, saya yakin Sungai Buloh akan menang. Selain Khairy, saya juga bawakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (sebagai calon BN) di Kuala Selangor.
"Saya yakin gandingan kedua-dua calon muda dan muka baharu ini bukan sahaja mampu membuat perubahan di Selangor, tetapi juga di peringkat Persekutuan.
"Saya harap rakyat Selangor boleh menjadikan Khairy dan Zafrul sebagai ikon di negeri ini untuk kita bangkit semula, selain berharap cita-cita untuk menawan sekurang-kurangnya tujuh kerusi termasuk Sungai Buloh boleh tercapai," katanya.