Selasa, 8 November 2022 | 2:02pm

Parti politik diingatkan tak jadikan masjid, surau tempat kempen

KOTA BHARU: Parti politik yang bertanding dalam PRU15 diingatkan supaya tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk perkara tidak dibenarkan termasuk pemasangan bendera parti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata ia bagi bagi memastikan institusi itu terpelihara daripada sebarang aktiviti kempen.

"Pihak berkuasa sudah ada garis panduan sendiri dan saya yakin pihak masjid dan surau tidak terbabit dengan aktiviti pemasangan bendera pasti di premis berkenaan.

"Justeru, saya menyeru supaya semua parti berlawan dengan suasana yang harmoni tanpa membabitkan institusi masjid," katanya di Kampung Penambang, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Marzuk berkata, walaupun setiap individu mempunyai hak memilih, namun menyalahgunakan premis untuk tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan.

"Untuk mengundi, berkempen atau menyokong mana-mana parti tidak mempunyai masalah, cuma tidak mahu masjid atau surau dijadikan tempat berpolitik," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk yang juga calon PAS Parlimen Pengkalan Chepa berkata beliau tidak pernah menganggap berada di zon selesa walaupun Parlimen berkenaan dianggap kubu kuat PAS apabila tidak pernah diganggu gugat oleh parti lain.

Penyandang Parlimen itu sebaliknya berkata, semua empat calon lain termasuk calon Bebas tetap menjadi saingan sengit untuknya pada PRU15.

"Pertama saya pesan kepada jentera parti supaya tidak 'over confident' kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku walaupun Parlimen Pengkalan Chepa tidak pernah diganggu gugat.

"Kita tidak boleh pandang rendah dengan pihak lawan sebaliknya kena bekerja sehabis daya untuk mengekalkan kemenangan.

"Setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing dan buktinya pada hari penamaan calon, setiap calon diiringi penyokong masing-masing," katanya sambil menambah setakat ini beliau berpuas hati dengan gerak kerja parti dan berharap pengundi luar pulang mengundi.

Ahmad Marzuk bertemu penduduk ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 di Kampung Penambang, Kota Bharu pagi ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ahmad Marzuk bertemu penduduk ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 di Kampung Penambang, Kota Bharu pagi ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X