Selasa, 8 November 2022 | 1:41pm
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir sudah 'out' - Anwar

TANGKAK: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan partinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekadar untuk memecahkan undi.

Presiden PKR itu berkata, bekas Perdana Menteri dua kali itu juga sudah tidak relevan selain mengingatkan rakyat supaya tidak lagi bercerita mengenai Dr Mahathir.

"(Pemimpin) yang lain itu, Dr Mahathir jangan kacaulah, sudah-sudahlah, jangan kacau dia lagi, jangan cerita lagi.

"Dia sudah 'out', dia buat pecah undi sahaja, (saya minta pengundi) jangan bagi pecah undi.

"Saya mahu orang Melayu Ledang, Orang Cina Ledang, orang India ledang, kalau ada Orang Asli semua, pakat kita beri undi untuk menangkan Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah ketika tinjauan mesra di Pusat Jaja Taman Tangkak Jaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, calon PH yang juga penyandang Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Anwar yang calon PH bagi kerusi Parlimen Tambun, menyifatkan dakwaan kononnya beliau akan berpakat dan berunding dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak benar dan fitnah.

"Tak payah kacau dia (Mahathir) lagi, saya tak mahu kacau dia tapi dia kacau kita, dia kata tak boleh sokong PH, sebab PH mahu pakat (dengan Ahmad Zahid), Anwar mahu pakat sama Ahmad Zahid, apa cakap macam ini, dia susah hati, takut kita menang.

"Saya sendiri akan pergi ke Bagan Datuk, saya mahu serang tempat Ahmad Zahid, untuk kita menang di sana, dia tak tahu apa perancangan kita, perancangan kita ini adalah untuk dapat sekurang-kurangnya 112 (kerusi) untuk PH jadi kerajaan,

"Apa runding-runding, kita mahu menang sebab rakyat," katanya

Pada PRU15, PEJUANG yang dipimpin Dr Mahathir bertanding di 161 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berita Harian X