Selasa, 8 November 2022 | 1:40pm
Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaludin bersama Tan Sri Anuar Musa yang turut membantu berkempen ketika bertemu pengundi di Central Mart Saujana Utama. - Foto HAZREEN MOHAMAD
Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaludin bersama Tan Sri Anuar Musa yang turut membantu berkempen ketika bertemu pengundi di Central Mart Saujana Utama. - Foto HAZREEN MOHAMAD

Manifesto BN bersifat holistik, membantu rakyat menerusi pelbagai platform

SUNGAI BULOH: Perancangan Amal dan Usaha Barisan Nasional (BN) untuk Malaysia tercinta (PADU) disifatkan realistik untuk dilaksanakan, jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengakui berpuas hati dengan perincian manifesto itu selain menyifatkan sebagai holistik bagi memastikan rakyat dapat dibantu menerusi pelbagai platform.

Beliau yang juga calon BN di Parlimen Sungai Buloh antara lain memuji komitmen gabungan itu bagi memastikan peruntukan perbelanjaan kesihatan awam ditetapkan pada paras lima peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"PADU tidak menjanjikan bulan dan bintang, selain banyak usaha di dalamnya yang digubal bagi memperkukuh 'governance' (pentadbiran) dari segi institusi demokrasi dan pencegahan rasuah.

Calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin bertanya khabar penduduk sebelum memasuki Klinik Komuniti Saujana Utama, Sungai Buloh. - NSTP/Wan Jailani Razak
Calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin bertanya khabar penduduk sebelum memasuki Klinik Komuniti Saujana Utama, Sungai Buloh. - NSTP/Wan Jailani Razak

"Banyak inisiatif diperkenalkan terutama bagi golongan muda, antaranya insentif mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), 'upskilling' dan (bidang) kemahiran.

"Ini sangat penting untuk memperkukuh ekonomi dengan keutamaan diberikan melalui prospek golongan muda dari segi latihan dan pendidikan tinggi," katanya ketika ditemui selepas melawat Klinik Komuniti Saujana Utama di sini, hari ini.

Mengenai aspek kebajikan, Khairy berkata, banyak perlindungan diberikan kepada tenaga kerja, antaranya pekerja gig yang sebelum ini tidak menikmati kemudahan sedemikian.

"Menyentuh soal kebajikan golongan berpendapatan RM2,000 ke bawah, mereka juga akan diberi pakej bantuan. Ini sangat penting sebab kita meletakkan (nilai) lantai bagi konsep 'living wage', sekali gus berharap ia mampu menaik taraf kualiti kehidupan mereka.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan PADU yang mengandungi 99 Amal dan usaha sebagai tawaran baharu kepada rakyat untuk mengemudi negara ke arah kemajuan, jika diberi berjaya menawan Putrajaya.

Sementara itu, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, mengajak orang ramai untuk meneliti tawaran diketengahkan gabungan itu dalam Bajet 2023 yang disifatkan amat baik untuk memberi perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat.

Justeru, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, negara bakal menyaksikan bajet luar biasa, holistik serta boleh dilaksanakan, jika BN berjaya menakluki Putrajaya seusai PRU15.

"Bajet 2023 ini juga sama penting dengan manifesto kerana pembangkang tidak tahu masalah dalaman (kerajaan) atau kedudukan kewangan, sama ada mencukupi atau tidak. Mereka tak tahu pandangan pegawai kerajaan dan ia berbeza," kata penyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, juga berpandangan, PADU perlu dipadankan dengan Bajet 2023 bagi membentuk sinergi lebih kukuh kepada BN dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau antara lain menyifatkan PADU sebagai dokumen yang sangat tersusun serta komprehensif, selain mengetengahkan idea, perancangan dan tawaran yang baik kepada orang ramai.

"Paling utama BN mempunyai rekod baik dalam melaksanakan pelbagai tawaran dalam manifesto setiap kali pilihan raya, berbanding Pakatan Harapan yang gagal melaksanakan janjinya seperti termaktub dalam manifesto mereka pada PRU14.

"Kegagalan mereka menunaikan manifesto ini menyebabkan orang ramai sukar untuk mempercayai janji mereka, terutama mengenai pemansuhan tol yang diulangi PH pada PRU15.

"PH boleh bohongi rakyat (mengenai pelbagai tawaran menerusi manifesto) tetapi mereka tidak boleh berterusan menipu orang ramai," katanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Ketereh.

Berita Harian X