Selasa, 8 November 2022 | 9:35am
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ditemui media selepas beramah mesra dengan peniaga di Lereh. - Foto NSTP/AMIR MAMAT
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ditemui media selepas beramah mesra dengan peniaga di Lereh. - Foto NSTP/AMIR MAMAT

PRU15: 'Janji PH hapus tol dah basi' - Ka Siong

MELAKA: Janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan tol sekiranya diberi mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah janji basi yang tidak boleh dipercayai.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pendirian PH untuk mengulangi janji sama yang tidak dapat dilaksanakan selepas memenangi PRU14 pada 2018 lalu disifatkan sebagai satu temberang serta tipu helah tidak bertanggungjawab terhadap rakyat.

Malah, katanya, pelbagai lagi janji `bulan dan bintang' lain yang ditawarkan PH ketika mentadbir negara sebelum ini tidak dapat direalisasikan, sekali gus membuktikan tindakan mereka seolah-olah mahu menipu undi.

"Pada 2018 lalu, mereka kata nak mansuhkan tol, (namun) apabila sudah menang mereka kata manifesto bukan kitab suci. Tiba-tiba mereka guna satu cara yang dianggap inovatif iaitu memberikan diskaun (tol) sebanyak 18 peratus, tetapi secara tersirat melanjutkan tempoh konsesi selama 20 tahun.

"Mereka cuba memperbodoh dan memperkotak-katikkan rakyat sebagai catur. Kalau mereka tidak boleh buat dahulu (hapuskan tol) kenapa perlu ulangi semula janji.

"Jadi, saya harap kita tidak terpedaya dan rakyat boleh melihat sendiri apa yang berlaku ketika pemerintahan PH dahulu," katanya selepas menyantuni pengundi di Lereh dan Tokong Hock Seng Keng, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi; calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong; calon BN Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan dan calon BN Parlimen Kota Melaka, Kon Qi Yao.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berjanji tol di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) akan dimansuhkan sekiranya PH diberi mandat membentuk kerajaan selepas PRU15.

Bekas Menteri Kewangan itu dilaporkan berkata, ketika menerajui kerajaan selama 22 bulan selepas menang PRU14) pada 2018, PH sudah mengurangkan bayaran tol untuk lebuh raya itu sebanyak 18 peratus.

Guan Eng berjanji perkara yang sama pada 2017 sebelum kemenangan PH pada 9 Mei 2018 menumbangkan kerajaan BN, bagaimanapun kerajaan PH digulingkan selepas hanya 22 bulan memerintah.

Dalam pada itu, Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan berkata sesebuah kerajaan perlu pragmatik dan tidak boleh menjanjikan sesuatu yang di luar kemampuan.

Contohnya, beliau berkata, manifesto yang ditawarkan BN bukan sekadar janji kosong, bahkan ia sesuatu yang mampu direalisasikan.

"Kita akan buat sesuatu yang kita mampu dan ada dokumen penting iaitu Bajet 2023 yang boleh menjadi kesinambungan kepada apa jua bantuan sebagaimana dijanjikan kepada rakyat," katanya.

Berita Harian X