Selasa, 8 November 2022 | 8:53am
Kes jangkitan harian baharu COVID-19 di negara ini mencatatkan penurunan dengan 2,521 kes dilaporkan setakat malam tadi, berbanding 3,913 kes sehari sebelumnya. - Foto fail NSTP
Kes jangkitan harian baharu COVID-19 di negara ini mencatatkan penurunan dengan 2,521 kes dilaporkan setakat malam tadi, berbanding 3,913 kes sehari sebelumnya. - Foto fail NSTP

Kes COVID-19 catat 2,521 kes, 8 kematian

PUTRAJAYA: Kes jangkitan harian baharu COVID-19 di negara ini mencatatkan penurunan dengan 2,521 kes dilaporkan setakat malam tadi, berbanding 3,913 kes sehari sebelumnya.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang KKMNOW menunjukkan, sebanyak 2,519 kes membabitkan penularan tempatan manakala dua lagi kes import.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan 4,929, 972 kes sejak COVID-19 mula dikesan pada Januari 2020.

Bagaimanapun, lapan kematian direkodkan dengan dua daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Setakat tengah malam tadi, statistik kematian adalah sebanyak 36,495 dengan 7,767 adalah BID.

Selain itu, sebanyak 2,182 kes aktif dilaporkan menjadikan keseluruhan kes aktif sebanyak 34,534 kes dengan 32,766 atau 94.9 peratus menjalani isolasi di rumah dan 73 berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sebanyak 47 individu memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiada kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Penggunaan katil ICU juga berada pada paras 61.2 peratus.

Sementara itu, seramai 87 individu mendapatkan suntikan dos utama vaksin COVID-19 semalam, manakala 270 mendapatkan dos penggalak pertama dan 2,231 lagi mendapatkan dos penggalak kedua.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata jangkitan kes COVID-19 menunjukkan peningkatan

sebanyak 57.3 peratus apabila 26,616 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-44 (ME 44/2022) iaitu dari 30 Oktober hingga 5 November, berbanding 16,917 pada ME sebelumnya.

Katanya, bilangan kes tempatan pada pada ME 44 meningkat 57.4 peratus iaitu 26,577 kes, berbanding 16,890 kes pada ME 43.

Turut menunjukkan peningkatan bilangan kes import daripada 27 kepada 39 kes iaitu kenaikan 44.4 peratus, manakala bilangan kes kematian pada ME 44 meningkat 45 peratus iaitu 20 kes kepada 29 kes.

Berita Harian X