Selasa, 8 November 2022 | 12:30am
Hishammuddin bersama pemimpin BN Johor ketika hadir di Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Simpang Renggam di Jalan Muafakat, di sini malam ini. NSTP/Essa Abu Yamin
Hishammuddin bersama pemimpin BN Johor ketika hadir di Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Simpang Renggam di Jalan Muafakat, di sini malam ini. NSTP/Essa Abu Yamin

Semua calon BN perlu faham manifesto

KLUANG: Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memahami manifesto yang diumumkan parti itu, sekali gus dapat diterjemahkan dengan jelas kepada rakyat.

Penyandang kerusi Parlimen Sembrong itu berkata, manifesto BN itu penting untuk dikaji secara teliti oleh calon termasuk dirinya.

"Perkara itu termasuk jentera yang bekerja untuk memenangkan calon dapat melihat manifesto berkenaan sebagai sesuatu yang penting dan serius.

"Dalam kita nak ke hadapan ini, kita mahu semua calon-calon kita membawa manifesto ketika bertemu rakyat kerana ini adalah janji kita kepada rakyat.

"Sekiranya janji itu tidak difahami, ia tidak dapat diterjemahkan di kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran jentera BN Parlimen Simpang Renggam di Jalan Muafakat, di sini malam ini.

Hishammuddin berkata , sekiranya manifesto berkenaan tidak difahami, BN akan disamakan seperti segelintir pihak yang hanya menjanjikan perkara yang akhirnya tidak dapat ditunaikan.

"Jadi kita akan teliti dalam sehari lagi, kita akan pastikan semua gerakan di semua Parlimen senada seirama kerana ini janji kepada rakyat dan bukan satu permainan," katanya.

Terdahulu, BN melancarkan manifesto yang memperkenalkan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) sebagai tawaran kepada rakyat pada PRU15.

Berita Harian X