Isnin, 7 November 2022 | 9:36pm

Manifesto BN: Semua bahasa etnik diajar di sekolah kebangsaan

KUALA LUMPUR: Sekolah kebangsaan dicadangkan mengajar pelbagai bahasa asas etnik, jika Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua sekolah akan mengajar bahasa komunikasi asas seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Dusun dan lain-lain.

Katanya, janji itu kerana BN mahu menjadikan sekolah kebangsaan sebagai medan menyuburkan keharmonian dan menyemai nilai menghargai satu sama lain.

"Selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang kini diajar di semua sekolah, di bawah BN nanti, semua sekolah akan turut mengajar bahasa komunikasi asas yang lain seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Dusun dan bahasa etnik yang lain.

"Ia bukan sahaja akan menjadikan pembelajaran sesi yang menyeronokkan, malah sekolah akan menjadi tempat semua pelajar bersahabat dan membesar sebagai rakyat yang bersatu-padu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman manifesto BN yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid memaklumkan BN akan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan dengan memperkenal kemahiran baharu dalam silibus pendidikan.

"BN akan menjadikan sekolah sebagai tempat kita memupuk minda terbaik melalui pengajaran kemahiran baharu seperti pengekodan atau coding dan kreativiti," katanya.

Calon BN bagi kerusi Beluran Benedict Asmat berjumpa penduduk setempat. - Foto BENEDICT ASMAT
Calon BN bagi kerusi Beluran Benedict Asmat berjumpa penduduk setempat. - Foto BENEDICT ASMAT
Berita Harian X