KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berjanji untuk menyediakan sistem asuhan dan pendidikan awal nasional percuma kepada semua kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah.
Melalui manifesto itu, selain sistem sekolah rendah dan sekolah menengah, Malaysia akan turut mempunyai sistem pendidikan awal dan asuhan percuma di seluruh negara.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, melalui sistem pendidikan itu, ia tidak lagi bersifat serpihan atau bergantung kepada budi bicara atau tahap kemampuan ibu-bapa, sebaliknya diwujudkan sebagai sebuah sistem universal yang tersedia untuk semua di seluruh negara.
"Ia akan mengurangkan sebahagian besar kos penjagaan dan pendidikan kanak-kanak di seluruh negara serta menjadi bukti komitmen dan pelaburan besar negara dalam memastikan asuhan dan pendidikan awal dilakukan dengan cara terbaik.
"Perubahan radikal akan menjadi titik mula dalam ikhtiar kita membangun kognitif anak-anak supaya mereka membesar menjadi generasi kuat, cerdas dan berkemahiran," katanya ketika melancarkan Manifesto BN, malam ini.