Isnin, 7 November 2022 | 8:17pm
Peter berucap pada di Kampung Minansad, Kota Marudu. - Foto NSTP/JUWAN RIDUAN
Peter berucap pada di Kampung Minansad, Kota Marudu. - Foto NSTP/JUWAN RIDUAN

Peter dakwa 'tangan ghaib' tolak pencalonannya

KOTA MARUDU: Angkara 'tangan ghaib' dari Kuala Lumpur didakwa punca pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony di kerusi Parlimen Tenom ditolak.

Peter mendakwa keputusan bercanggah yang dibuat di antara Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya di Tenom dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pencalonan beliau menguatkan lagi dakwaannya.

"Sebenarnya selepas kita selesai di dewan (penamaan calon), walaupun kita cuba merayu tetapi mereka bertegas juga untuk menolak pencalonan itu, sedangkan tempoh masa bantahan juga habis.

"Saya dimaklumkan oleh RO yang itu (pencalonannya ditolak) arahan daripada Kuala Lumpur dan mereka tidak boleh buat apa-apa.

"RO atau pegawai daerah yang mewakili SPR memberitahu tiada masalah (pencalonannnya), tapi dia (RO) memberitahu saya yang ada bantahan dari pengerusi SPR di pusat. Bagaimana boleh ada keputusan dwistandard begini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis ramah mesra masyarakat Kampung Minansad bersama pemimpin PKDM, di sini, hari ini.

Peter berkata, pihaknya akan menghantar petisyen berhubung penolakan pencalonannya dan yakin pilihan raya kecil (PRK) bakal diadakan di Tenom.

Katanya, alasan pencalonan beliau ditolak kerana mempunyai sabitan di mahkamah 'tidak boleh dipakai' kerana sabitan terhadapnya sudah digantung oleh mahkamah.

"Dengan jelas dan terang sabitan berkenaan sudah digantung. Bererti saya tiada sabitan. Ini satu penghinaan kepada mahkamah kerana mereka seolah-olah tidak menghormati keputusan mahkamah.

"Apapun, kita serahkan kepada peguam kita untuk pengaturan membabitkan kehakiman tapi saya ingat ia akan memihak kepada kita," katanya.

Media sebelum ini melaporkan berlaku kekecohan oleh penyokong Peter di luar Dewan DSP Antanom, Tenom Sabtu lalu sehingga menyebabkan pasukan polis melepaskan gas pemedih mata.

Kejadian difahamkan berlaku berikutan kemarahan penyokong PKDM apabila mengetahui borang pencalonan Peter ditolak.

Berita Harian X