TANGKAK: Dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, kononnya Pakatan Harapan (PH) mampu memenangi sebahagian besar kerusi Parlimen khususnya Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya sekadar ramalan.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penentuan siapa yang bakal menang PRU15 hanya akan ditentukan oleh rakyat pada 19 November ini.
"Apa yang penting akhirnya (kita) tunggu 19 November ini. Ramalan-ramalan Rafizi ini, saya nak ingatkan kadang-kadang bila menjadi, dia ambil kredit, (namun apabila) ramalan yang dia buat tak menjadi, orang lupa.
"(Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim kata PH mampu menang 100 kerusi kemudian Rafizi pula kata boleh menang 80 kerusi. Dia dan Anwar pun tidak nampak ada persefahaman," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata demikian ketika ditemui selepas turun berkempen dengan calon BN Parlimen Pagoh, Datuk Seri Razali Ibrahim di Grisek, di sini hari ini.
Rafizi semalam mendakwa PH yakin mampu menyapu bersih 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, selain 19 daripada 22 kerusi di Selangor pada PRU15.
Beliau dilaporkan berkata pihaknya turut menjangkakan PH bakal melakukan kejutan besar di Negeri Sembilan, selain berpotensi memenangi 13 hingga 15 kerusi di Johor.
Katanya, bacaan itu diperoleh berdasarkan kajian syarikat tinjauan awamnya, Invoke Malaysia, dengan mengambil kira situasi semasa.
Ditanya sama ada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih lagi menjadi 'poster boy' dan calon Perdana Menteri daripada BN, Hishammuddin menegaskan perkara itu sudah ditentukan parti.
"Bukan saya tentukan, dari dahulu lagi parti sudah buat pendirian. Sekiranya ada apa-apa perubahan, tak sampai kepada saya lagi. Yang penting nak jadi Perdana Menteri kita kena menangkan parti kita duhulu," katanya.