PETALING JAYA: PKR mempertikai kesahihan pengisytiharan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN), berikutan gambar beliau tidak dinaikkan oleh parti itu sejak kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula, Sabtu lalu.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, mendakwa setakat pemerhatiannya di beberapa negeri, tiada gambar Ismail Sabri, dinaikkan sama ada papan iklan, poster atau di bilik gerakan BN.
"Sebelum ini menjelang kempen pilihan raya, gambar Datuk Seri Najib Razak atau Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) akan dinaikkan di seluruh negara, sama ada di perhentian bas, papan iklan dan bilik gerakan.
"Ketika itu 'poster boy' jelas. Sekarang kita tak nampak 'boy' dalam poster. Malah, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sendiri meminta Ismail Sabri 'berhati-hati di tengah jalan kerana takut kena kencing'.
"Jadi daripada elit UMNO dan akar umbi, termasuk di bilik gerakan, kita tak nampak keputusan (menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri BN) diterjemahkan di peringkat akar umbi," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ismail Sabri di pusat penamaan calon Parlimen Bera Sabtu lalu, yang menegaskan beliau masih lagi 'poster boy' dan calon Perdana Menteri BN, dan perkara itu diputuskan dalam Persidangan Agung UMNO 2021 serta Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada April lalu.
Kenyataan Ismail Sabri itu bagi menjawab dakwaan mengatakan wujud surat akuan bersumpah bagi memilih calon Perdana Menteri selain beliau selepas pilihan raya, yang didakwa perlu ditandatangani setiap calon daripada UMNO, seperti yang tular di media sosial beberapa hari lepas.
Sementara itu, Chean Chung mengulangi tawaran Pakatan Harapan (PH) supaya semua calon Perdana Menteri daripada tiga gabungan utama iaitu PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) untuk berdebat dalam tempoh kempen PRU15.
"PKR akan hantar jemputan rasmi debat dalam masa terdekat, cuma kita tak tahu nak tujukan surat itu kepada siapa bagi pihak UMNO BN," katanya.
Ketika ini, PH menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri jika gabungan itu menang dalam PRU15 pada 19 November nanti, manakala PN mula mencalonkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin jika gabungan itu berjaya menawan Putrajaya.
BN mengisytiharkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, namun ramai pihak sangsi dengan janji itu.
Ini kerana, calon Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, tidak dilantik ke jawatan itu walaupun dijanjikan ketika kempen selepas BN menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.