KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gabungan itu tidak boleh bekerjasama dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Tun Dr Mahathir Mohamad kerana terdapat perbezaan dasar parti.
Presiden PKR itu berkata, Dr Mahathir yang mewakili parti Melayu itu percaya hanya pemimpin berbangsa Melayu sahaja yang boleh memimpin negara ini sedangkan negara ini adalah untuk semua rakyat Malaysia.
"Dia mewakili parti Melayu semata-mata dan mereka percaya hanya pemimpin Melayu boleh memimpin negara ini, jadi terdapat perbezaan dasar utama parti di sini.
"Yang kedua, dia (Dr Mahathir) lakukan dan terus mengawal rasuah terpilih, kita tidak boleh membiarkan atau meneruskan penipuan ini sehingga membolehkan sistem ini memberi kekayaan keluarga mereka.
"Kita boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi tidak sesekali akan berkompromi kepada asas ekonomi kerajaan kerana keadaan negara kita sedang merudum.
"Semua pemimpin kini menyatakan dasar dalam anti rasuah, tetapi lihatlah keluarga mereka, anak-anak mereka yang semuanya mendapat manfaat yang besar daripada kerajaan," katanya dalam wawancara oleh Bloomberg, hari ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) dilaporkan berkata, beliau sedia berbincang dengan Anwar berkaitan kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana mereka mempunyai matlamat yang sama.
Malah Dr Mahathir juga tidak kisah sekiranya ada yang melabelnya sebagai tidak malu kerana mahu bekerjasama dengan PH dan Anwar.
Ketika ditanya mengenai tekadnya yang mahu menghapuskan rasuah dan perkara itu dianggap sebagai janji lama yang pernah dibuat sebelum ini, Anwar berkata pihaknya bukannya bercakap mengenai manifesto retorik.
"Kita bercakap mengenai komitmen yang teguh, selama 22 bulan (menjadi kerajaan) kita siasat, tangkap dan sabit mereka yang terbabit dengan rasuah. Saya perlu mengaku di sini, bahawa masa 22 bulan yang diberikan itu diketuai oleh Dr Mahathir.
"Mulai 22 November ini, sekiranya kita menang, ia akan diketuai oleh Anwar dan ia adalah personaliti berbeza, komitmen dan polisi juga berbeza.
"Sebab itu saya sangat optimis kerana kita mahu menyelamatkan negara, adakah kita mahu negara yang bergerak dengan wang ringgit, menaikkan harga serta ketidakstabilan," katanya.
Menjawab soalan mengapa Anwar memikirkan masanya sudah tiba untuk menjadi Perdana Menteri, calon PH Parlimen Tambun itu berkata, beliau sering turun padang dan mengatakan kepada masyarakat apa lagi pilihan yang mereka ada.
"Mereka ada BERSATU yang orangnya dulu dari UMNO dan pada saat akhir mereka menukar calon yang ada di antaranya dari UMNO, PAS dan BERSATU jadi tiada perbezaan dasar di sini.
"Kita mahu menentang rasuah dan retorik perkauman yang berterusan, jadi kita mahu ia kembali kepada fokus. Benar bangsa Melayu adalah majoriti di negara ini tetapi kita perlu pastikan bahawa Malaysia adalah untuk semua, (untuk) semua kaum," katanya.