BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata penat bukan penghalang untuknya menyantuni seramai mungkin pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang sudah memasuki hari ketiga.
Beliau berkata, berkempen dalam cuaca yang tidak menentu tentunya memberi cabaran kepada calon untuk bertemu pengundi masing-masing.
Berkongsi tips, Naib Presiden UMNO itu berkata, apa yang dilakukan kini sememangnya rutin bergelar Ahli Parlimen Bera sejak empat penggal lalu.
Calon BN Parlimen Bera itu juga berkata, bertemu dengan masyarakat dan mengambil tahu masalah dan penambahbaikan yang perlu dibuat adalah tanggungjawab yang bukan 'bermusim'.
"Jika dilakukan dengan 'passion' (kesungguhan) ia tidak akan rasa penat kerana saya memang suka bertemu masyarakat.
"Apabila 'passion', kita akan lebih bertenaga atau 'energetic' dan lupa penat sebab kita seronok dengan apa yang kita lakukan.
"Saya tak ada ambil jamu, tapi hanya ambil vitamin asas seperti multivitamin dan vitamin C untuk elak selsema.
"Satu lagi tips, saya terus lelap sekejap apabila dalam kereta untuk saya rehat seketika antara program ke program lain," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kenduri Rakyat di FELDA Sebertak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yakin sokongan masyarakat FELDA dan Orang Asli kepada Barisan Nasional (BN) akan kekal padu.
Walaupun keyakinan itu tinggi namun, katanya, ia bukan tiket untuk berasa selesa sepanjang tempoh berkempen.
"Pengundi di Parlimen Bera beri sokongan yang padu kepada saya dan BN sejak dulu lagi malah sokongan pengundi Cina dan India juga bertambah baik.
"Boleh dikatakan pengundi FELDA dan Orang Asli menjadi deposit tetap saya kerana sokongan kepada BN masih kekal kuat," katanya.