Isnin, 7 November 2022 | 2:25pm
Jasmira (dua dari kiri) mengusung jenazah penduduk kampung Rawai yang meninggal dunia hari ini. - Foto NSTP/Malik Muhamad
Jasmira (dua dari kiri) mengusung jenazah penduduk kampung Rawai yang meninggal dunia hari ini. - Foto NSTP/Malik Muhamad

PRU15: 'Peluang saya dan Abdul Hadi sama rata'

KUALA TERENGGANU: Walaupun Parlimen Marang dianggap kubu kuat PAS, calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Jasmira Othman tidak gentar biarpun kali pertama bertanding.

Bekas peguam berasal dari Kampung Merchang, Marang itu berkata, semua calon mempunyai peluang seimbang untuk melakar kemenangan bagi merebut kerusi itu daripada penyandang Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Selepas saya menerima tawaran daripada pucuk pimpinan parti untuk bertanding di Parlimen Marang, kerap kali saya nyatakan kawasan ini bukannya kawasan yang patut ditakuti atau digeruni untuk ditandingi walaupun dikatakan sebagai kubu kuat PAS.

"Begitu juga dengan calon mereka (PAS), sebaliknya saya melihat semua calon yang bertanding mempunyai peluang sama rata untuk menduduki kerusi Parlimen itu.

"Sebab itu dalam pemikiran saya, kawasan ini bukan tempat yang sukar untuk dimenangi, sebaliknya jika strategi diatur dengan baik dan berkesan, pasti kerusi ini bakal berpindah milik," katanya ketika ditemui selepas selesai solat jenazah seorang penduduk Kampung Rawai, dekat sini, hari ini.

Ketika ditanya strategi yang bakal dan sedang dilakukan, calon berusia 48 itu berkata, antaranya adalah mendekati penduduk dan menyelami permasalahan mereka.

"Kita mengambil kira PRU14 dan PRU15, suasananya pasti berbeza, PRU14 adalah gabungan parti Pakatan Harapan (PH) yang baharu serta tidak begitu dikenali lagi ketika itu, jadi segala janji yang ditabur walaupun tidak masuk akal, tapi diterima bulat-bulat oleh pengundi.

"Pada hari ini masyarakat tidak lagi melihat janji-janji yang dibuat oleh PH mudah diterima pengundi, dalam konteks negeri Terengganu pula, kami berdepan dengan PAS, dan kemenangan parti itu sebelum ini adalah menumpang gelombang yang dibuat oleh PH.

"Jadi situasi PRU15 ini sudah tentu berbeza, PAS tidak ada apa-apa gelombang lagi, sebaliknya PAS membawa beban iaitu sepanjang pemerintahan parti itu, rakyat melihat kegagalan demi kegagalan dibuat kerajaan PAS, parti itu tidak buat apa-apa untuk pembangunan negeri.

"Sebaliknya hanya meneruskan pembangunan yang belum siap sebelum PRU14, contohnya pembinaan jambatan angkat yang kini menjadi ikon diiktiraf dunia.

"Jadi PAS tidak boleh mendabik dada projek atau ilham itu daripada mereka, sebaliknya idea dan usaha adalah daripada BN, saya yakin pengundi akan menghukum PAS dalam PRU15 ini," katanya.

Pada PRU15, penyandang yang juga Presiden PAS dicabar calon import PH, Azhar Ab Shukur, Dr Zarawi Sulong daripada PEJUANG dan calon muda BN.

Pada PRU14, Abdul Hadi menang dengan majoriti besar 21,749 undi.

Berdasarkan rekod pada 1986, calon BN, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar pernah mencipta kejutan selepas menang di Parlimen berkenaan menewaskan Abdul Hadi dengan majoriti 600 undi, pada 2004, Abdul Rahman sekali lagi melakar kejutan menumbangkan Abdul Hadi dengan majoriti 163 undi sekali gus digelar 'Giant Killer'.

Berita Harian X